Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kementerian nafi terlibat program tampilkan Zakir

Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkata pihaknya tidak terlibat dalam program Malaysia Reverts Camp yang menampilkan Dr Zakir Naik.

"Kementerian Komunikasi dan Multimedia termasuk Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran tidak terlibat dalam penganjuran program Malaysia Reverts Camp yang akan diadakan di Perlis pada 16 hingga 18 Ogos 2019 sepertimana yang ditularkan melalui media sosial.

"Sehubungan itu, pihak penganjur telah diminta untuk mengeluarkan logo Kementerian, Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran daripada semua bahan program dan publisiti bagi program tersebut," kata kementerian itu dalam kenyataan itu.

Kementerian itu juga menyatakan harapan agar logonya tidak disalah guna pada masa akan datang.

"Penggunaan logo-logo rasmi Kementerian dan Jabatan tanpa kebenaran adalah suatu tindakan tidak beretika dan boleh mengelirukan orang ramai," kata kementerian itu lagi.

Sementara itu, sumber kementerian mendakwa penggunaan logo itu ialah satu tindakan sabotaj.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Zakir hari ini, beliau dan keluarganya akan memberi ucapan di Masjid Al Hussain - lebih dikenali sebagai Masjid Terapung - di Kuala Perlis.

Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis dan One Centre Malaysia merupakan penganjur bersama program itu.

Program tiga hari itu menampilkan sejumlah pendakwah ternama seperti Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Zamri Vinoth dan Ridhuan Tee Abdullah.

Semalam, One Centre Malaysia Perlis dalam laman Facebooknya berkata isteri Zakir, Farhat dan anak perempuan mereka Zikra, dijadual menyampaikan ucapan untuk slot "Exclusively for Ladies" di masjid itu pada Sabtu.

Poster yang dikongsi laman Facebook itu antara lain memaparkan logo RTM dan Jabatan Penerangan.