Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Daripada wartawan veteran kepada penasihat media DAP

WAWANCARA | Setiap pagi, suasana hiruk-pikuk orang berjual beli memenuhi ruang Pasar Pudu, Kuala Lumpur yang dihimpit kesesakan lalu lintas di jalan-jalan yang mengelilinginya.

Di sebelah pasar itu tersergam ibu pejabat kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang berkongsi ruang dengan sebuah hotel kecil.

Tingkat tiga bangunan tersebut merupakan tempat kerja pasukan tulang belakang DAP dan bilik mesyuarat jawatankuasa tertinggi pusat parti itu.

Pada hari bekerja, di tingkat sama, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, 78, akan mudah ditemukan di pejabatnya sedang mengkaji, menaip dan menyiapkan kenyataan-kenyataan medianya.

Di sebelah bilik Lim, adalah pejabat penasihat media DAP Wan Hamidi Hamid.

Kini berusia 54 tahun, Wan Hamidi menyertai DAP pada 2004. Pada 2009, beliau mula aktif dan bekerja membantu DAP sebagai peneraju lidah rasmi parti itu dengan penerbitan The Rocket dan Roketkini, perintis bengkel politik Sekolah Demokrasi dan penyelaras organisasi pemikir pro-DAP Research for Social Advancement (REFSA).

Bayang-bayang Wan Hamidi tidak lagi asing dalam program dan aktiviti DAP.

Pada pertengahan tahun lalu, desas-desus Wan Hamidi akan mengambil alih jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) Agensi Berita Nasional (Bernama) bertiup kencang selepas penyandangnya Zulkefli Salleh bersara.

Tetapi selepas bantahan daripada beberapa kumpulan, hal itu tidak menjadi kenyataan.

Wan Hamidi, yang mempunyai pengalaman kewartawanan di akhbar-akhbar utama termasuk Berita Harian, The Star, The Sun, New Straits Times, Singapore Straits Times dan media atas talian The Malaysian Insider berkata susulan bantahan itu beliau tidak dilantik meskipun sebelumnya mendapat tawaran.

Berkongsi pengalaman ketika masih bergelar wartawan pada era media dikawal ketat kerajaan, Wan Hamidi, seperti kebanyakan wartawan arus perdana lain, menuruti 'trend' mengarang berita yang cenderung berpihak kepada BN.

Namun, di luar waktu kerja, Wan Hamidi melibatkan diri dalam aktiviti dan penulisan yang berkaitan dengan kesatuan sekerja dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ruang peribadi itu juga digunakannya untuk aktif dengan beberapa rakan seperjuangan untuk membentuk asas bagi penubuhan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Malah, logo genggaman penumbuk untuk parti itu merupakan cetusan idea daripada beliau.

Berasal dari Sungai Gelugor, Pulau Pinang, Wan Hamidi mengakui sejak kecil beliau agak kekok dengan orang ramai, namun akan bertukar menjadi seorang yang banyak cakap dalam kalangan rakan-rakan rapatnya.

Pembacaan karya haluan kiri

Sejak di bangku sekolah, Wan Hamidi menjadikan minat membaca sebagai jendela untuk mengenali dunia. Seawal itu juga, beliau tertarik dengan karya sastera berhaluan kiri daripada buku teks sekolah bapa saudara dan ibu saudaranya.

“Beberapa orang pak cik dan mak cik hanya berusia beberapa tahun lebih tua daripada saya, mereka adalah pelajar aliran sastera.

"Ketika itu saya sudah tertarik dengan buku teks SPM dan STPM mereka," katanya.

Buku teks yang dimaksudkannya adalah kesusasteraan Melayu Sekolah Menengah mengikut sukatan Kementerian Pelajaran pada masa itu.

Karya-karya tersebut termasuklah Keluarga Gerilya (1950) yang merupakan karya tokoh sastera Indonesia dan aktivis anti-penjajah Pramoedya Ananta Toer dan Tulang-Tulang Berserakan (1970) karya sasterawan negara Usman Awang.

Keluarga Gerilya mengupas kisah tragis sebuah keluarga dalam perjuangan anti-penjajah Belanda. Tulang-Tulang Berserakan pula antara lain berkongsi kisah hidup Usman Awang yang pernah menjadi polis dan pegalamannya di zaman darurat melalui pertembungan di antara Parti Komunis Malaya dan Kerajaan Kolonial Inggeris.

Daripada perpustakaan sekolah, Wan Hamidi mememui buku Arca Berdiri Senja yang mengisahkan aktivis mahasiswa pada awal 1970-an.

Karya-karya tersebut, khususunya pada era 1950-an dan 1960-an, lahir di saat kemuncak pemikiran kiri, pergerakan pekerja dan nasionalisme di Nusantara. Pada ketika itu kerajaan di Malaysia dan Indonesia cuba menyekat pengaruh kiri melalui tekanan politik dan kuasa tentera, termasuk bertindak mengharamkan parti-parti berhaluan kiri dengan mengaitkannya dengan komunisme.

Dalam usaha mengekang penyebaran pemikiran kiri, Kementerian Pelajaran Malaysia tidak lagi meletakkannya dalam senarai buku teks pelajar atas alasan teks-teks sastera tersebut “terlalu dalam” untuk kefahaman anak-anak sekolah.

“Cuba bayangkan, Keluarga Gerilya satu masa dulu pernah menjadi buku teks di Malaysia. Buku itu berkaitan dengan perjuangan rakyat Indonesia menentang penjajah Belanda dan usaha mencapai kemerdekaan.

“Tetapi malangnya, karya-karya itu tidak lagi dipelajari," katanya dengan nada kesal dan menyifatkan karya-karya berkenaan membangkitkan semangat perjuangan dalam dirinya.

Minat muzik punk

Selain daripada karya sastera berhaluan kiri, Wan Hamidi juga menjadikan minatnya kepada muzik genre punk untuk membantu meluaskan perspektif hidupnya.

Genre muzik punk atau lebih tepat lagi sub-genre daripada muzik rock berasal dari Britain yang mendapat pengaruh awal daripada rock serpihan akhir 1960-an dan awal 1970-an dari New York, AS.

Gaya muzik ini dikaitkan dengan kebingitan muzik rock yang berat, kebebasan individu, antiarus utama serta antikerajaan.

Bagi Wan Hamidi, punk bukan sekadar muzik, tapi juga cara hidup dan corak pemikiran yang bangkit menolak nilai-nilai masyarakat arus utama yang terikat dengan konservatisme.

“Arwah bapa saya merupakan pengajar perikanan. Dia penjawat awam peringkat rendah. Saya pula sedikit skema. Masa zaman kanak-kanak, kawan-kawan saya tidak ramai di kalangan jiran. Di sekolah pun tak ramai sangat.

“Saya dengar muzik rock di rumah jiran. Saya minat kebisingan rock walaupun tidak memahami apa-apa pada masa itu,” katanya.

Melalui piring hitam jirannya dan juga koleksi seorang bapa saudaranya, beliau mengenali band rock British dan Amerika Syarikat seperti Deep Purple dan Grand Funk Railroad.

Melalui radio Rangkaian Biru RTM yang menyiarkan lagu-lagu Inggeris, beliau mengenali muzik the Beatles, Elvis Presley, Bill Haley serta Chuck Berry dan banyak lagi.

Lagu Pop Yeh Yeh Melayu juga diminati Wan Hamidi. Sewaktu kenduri kahwin di kampung sekitar 1970-an, anak-anak muda yang menjadi DJ kampung selalu memainkan lagu-lagu daripada Led Zepplin, Free dan Queen.

Di seberang selat, gelombang radio dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) di Butterworth menyiarkan lagu-lagu punk alternatif dan new wave yang semakin meluaskan minat beliau terhadap genre tersebut.

Tahun lalu, Wan Hamidi menulis dan menerbitkan sebuah fanzine atau buku kecil bertajuk Punk: Satu Penilaian Semula untuk menceritakan pengaruh punk terhadap dirinya serta kesannya dalam masyarakat.

Tamat persekolahan tingkatan lima, Wan Hamidi menyambung pengajian ke Institut Teknologi MARA (ITM) di Arau, Perlis untuk kursus Diploma Pengajian Perniagaan.

Mengimbas era itu, Wan Hamidi berkata, walaupun ITM pada masa itu hanya terbuka untuk pelajar Bumiputera, tenaga pengajarnya terdiri daripada pelbagai kaum.

Malah, katanya, subjeknya juga merangkumi pelbagai bidang termasuk mata pelajaran Bahasa Mandarin. Sayangnya, tambah Wan Hamidi, minatnya kepada filem-filem Shaolin Kungfu mengatasi keseriusannya mempelajari bahasa Cina.

Dalam kegawatan ekonomi dunia 1987, beliau menamatkan pengajiannya di ITM. Fenomena global itu turut memberi kesan terhadap Malaysia. Sepanjang 1987 dan awal 1988, Wan Hamidi mengutus lebih 100 surat permohonan kerja tetapi tidak mendapat balasan daripada majikan.

Cuba mengikut jejak anak muda lain, Wan Hamidi bertandang ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan tetapi tidak membuahkan hasil.

"Kebanyakan masa hanya dihabiskan lepak dengan dua, tiga rakan sekolah di Pasar Seni untuk mendengar bacaan puisi atau acara muzik," katanya.

Wan Hamidi turut berkongsi kisah pada 1987. Pada Oktober tahun itu, seorang anggota tentera Prebet Adam Jaafar telah mengamuk di sekitar kawasan Chow Kit dan melepaskan tembakan rambang sehingga menyebabkan satu nyawa melayang.

Wan Hamidi yang menumpang di rumah kawannya tidak tahu apa-apa tentang hal itu merasa hairan apabila pagi-pagi lagi ramai orang yang mahu ke tempat kerja sudah pulang ke rumah mereka.

Beliau bersama kawannya itu, sekadar ketawa melihat orang bergegas pulang ke rumah.

“Memang selepas itu, saya dan kawan ini merasa amat bodoh kerana ketawa tak tentu pasal. Kami ingat, apa orang ini ada cuti khas kah? Sebab kami pula memang menganggur.

“Bas yang kami naik lalu betul-betuk di sebelah stesen minyak Chow Kit masih nampak terbakar kecil. Bomba sedang memadam api. Kami tetap tak tahu apa-apa lagi dan seperti tak kisah pun. Agaknya anak muda memang tak banyak fikir.

“Kemudian baru kami tahu betapa gentingnya keadaan tersebut. Terkejut saya. Itulah antara hal-hal bodoh yang saya lakukan dalam hidup ini,” katanya.

Nasib berubah dengan kursus PETS

Kecewa kerana gagal mendapat pekerjaan, beliau kembali ke Pulau Pinang.

Suatu hari, bapa saudaranya menunjukkan satu keratan iklan akhbar yang memaparkan iklan New Straits Times Press (NSTP) menawarkan kursus pelatih kewartawanan Pre-Entry Training Scheme (PETS).

Menurut Wan Hamidi, ketika itu dia masih tidak mempunyai gambaran tentang tugas seorang wartawan, namunpak ciknya yang sedar minatnya menulis telah menggalakkannya untuk memohon menyertai kursus itu.

Mengakui bahawa persetujuannya dengan galakan pak ciknya itu hanya kerana permohonan kerja lain ditolak, Wan Hamidi dipilih sebagai salah seorang daripada 30 pelatih untuk mengambil khusus sepanjang lima bulan itu.

"Selepas itu baru saya tahu bahawa kursus PETS berkenaan lahir hasil pertembungan dua mazhab, iaitu yang percaya bahawa seseorang boleh dilatih untuk menjadi wartawan, dan yang yakin bahawa seseorang itu hanya boleh lahir sebagai wartawan.

"Akhirnya, pihak yang memperjuangkan 'latihan' telah berjaya, dan bermulalah program PETS yang dalam maksud Bahasa Inggeris adalah haiwan peliharaan atau haiwan kesayangan. Maka pelatih-pelatih digelar oleh wartawan di NSTP sebagai 'haiwan kesayangan Balai Berita'," katanya.

Sewaktu kursus, Wan Hamidi mula berasa seronok menulis dan benar-benar ingin menjadi wartawan. Pada ketika itu juga beliau yakin dengan keinginannya untuk membantu masyarakat boleh diterjemahkan dalam bentuk tulisan melalui kewartawanan.

“Program PETS bukan untuk suka-suka. Ia memang bermakna untuk saya. Ia membolehkan saya, apabila menjadi wartawan nanti, untuk menulis tentang perjuangan kesatuan pekerja dan hal-hal berkaitan perobohan rumah setinggan,” katanya.

Daripada kumpulan pertama PETS 1988 itu, katanya, ramai antara mereka mencipta nama sebagai wartawan dan penulis.

Mereka termasuklah Ketua Pengarang dan CEO The Malaysian Insight, Jahabar Saddiq; Ketua Pengarang The Malaysian Reserve, Shamsul Akmar; Pengarang Berita Antarabangsa The Malaysian Reserve, Habhajan Singh dan Pengurus Besar Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad, Wan Sabariah Shikh Ali.

Bagi Wan Hamidi, individu yang berjaya menjadikan beliau seorang wartawan adalah Nash atau nama penuhnya Nashruladin Abdul Rahman yang pada ketika itu merupakan Pengarang Berita, Berita Harian.

Menurut Wan Hamidi, Nash merupakan individu yang bertanggungjawab mencurahkan sepenuh tenaga dalam melatih wartawan baru, yang juga berjaya menyemarakkan lagi minat Wan Hamidi pada bidang kewartawanan.

"Bukan sahaja cara menulis dan mencari berita tetapi juga hal-hal disiplin kerjaya.

“Untuk mendapatkan berita, prinsip Nash untuk kami mudah sahaja. Pagi-pagi kau datang kerja, jika tiada assignment (tugasan), kau cadangkan kepada pengarang berita apa kau nak buat.

“Kalau kau tiada cadangan atau idea, dia akan bagi cadangan yang bukan-bukan. Menderitalah kau. Semua kelam-kabut lah. Sebab itu elok fikirkan awal-awal apa benda yang nak dibuat setiap hari,” imbas Wan Hamidi.

Untuk rekod, Nash bertugas di Malaysiakini di dekad-dekad akhir kerjaya kewartawanannya dan baru saja bersara.


*Bahagian kedua wawancara ini akan disiarkan esok.