Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Khaled: Pertimbangan BN isu Lynas sebelum ini tepat

ULASAN | Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh menyuarakan pendapat bahawa Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) membawa lebih kesan sampingan negatif daripada kebaikan.

Antara aspek yang dibangkitkan beliau adalah isu kesihatan, ekosistem, peluang pekerjaan serta hubungannya dengan pinjaman wang dari Jepun.

Dalam banyak keadaan, kenyataan yang dikeluarkan lebih bersifat politik berbanding pembentangan data sains.

Saya merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen berkenaan Lynas pada tahun 2012. Justeru, saya terpanggil dan berasa bertanggungjawab menjelaskan beberapa perkara.

Pertama, Lynas diluluskan bukan kerana Malaysia berhutang atau bercadang untuk berhutang dengan Jepun.

Fuziah sama sekali tersasar. Kenyataan sedemikian tidak tepat dan sangat berniat jahat. Keputusan untuk membenarkan Lynas beroperasi di negara kita dibuat berpandukan kelebihan yang ada dalam sektor yang melibatkan bahan nadir bumi (rare earth element).

Ia mempunyai sifat bahan yang unik dan digunakan dalam pelbagai aplikasi dan alat, selain membangunkan industri seperti elektronik dan tenaga diperbaharui.

Kedua, Lynas diluluskan atas pertimbangan saintifik dan perindustrian dengan mengambil kira kelestarian alam sekitar.

Perkara ini dijelaskan dalam dapatan Jawatankuasa Pilihan Khas dan pemegang taruh mengenai Projek LAMP yang dibentangkan semasa Dewan Rakyat Parlimen Ke-12 (Penggal Ke-5, Mesyuarat Ke-2) pada 19 Jun 2012 (Laporan Jawatankuasa Khas).

Kekeliruan paling besar

Pihak Jawatankuasa Pilihan Khas juga mencadangkan standard kepatuhan berdasarkan amalan terbaik antarabangsa daripada kumpulan pakar demi memastikan kepentingan awam dan kelestarian alam sekitar diutamakan.

Maklum balas yang diberikan adalah berdasarkan dapatan saintifik, rujukan kepada beberapa pakar antarabangsa, lawatan ke tapak LAMP di Gebeng dan sesi pendengaran awam (ms 27-28 Laporan Jawatankuasa Khas).

Ketiga, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan peraturan yang lebih ketat standardnya berbanding peringkat antarabangsa.

Jawatankuasa pada masa itu dimaklumkan bahawa kadar anggaran pendedahan torium di projek LAMP adalah tidak signifikan (ms 32 Laporan Jawatankuasa Khas).

Keempat, Projek LAMP adalah projek pemprosesan bahan berasaskan kimia dan bukannya sebuah loji berasaskan nuklear atau sesuatu seumpamanya.

Ini adalah kekeliruan paling besar. Saya tidak pelik kerana, individu seperti YB Fuziah sendiri sentiasa memilih untuk bersifat pukul rata dalam memburukkan projek LAMP.

Sedangkan dalam projek ini, pendedahan kepada sinaran radioaktif adalah sangat kecil dan tidak membahayakan. Dapatan saintifik membuktikan bahawa pendedahan sinaran dari bahan mentah dan sisa buangan projek LAMP adalah pada tahap yang dibenarkan dan terangkum dalam standard yang dibenarkan seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di bawah PBB.

Kelima, wujud rujukan antarabangsa dan penubuhan jawatankuasa yang bersesuaian.

Dalam kes ini, kepakaran IAEA telah dirujuk dalam mengkaji aspek kesihatan dan keselamatan projek LAMP. Pada masa yang sama telah ditubuhkan satu Panel Pakar Bebas Antarabangsa untuk memberi nasihat dan dapatan mereka.

Yang penting, keputusan Kerajaan Pakatan Harapan untuk memperbaharui lesen LAMP membuktikan bahawa keputusan Barisan Nasional sebelum ini adalah tepat, berasas dan dipimpin oleh pertimbangan yang betul.

Namun, individu seperti YB Fuziah, terus-menerus menjadi pakar sains dan menggunakan isu ini untuk berpolitik tanpa merujuk dan mempertimbangkan pelbagai dapatan sahih yang telah dikemukakan oleh mereka yang benar-benar pakar dalam bidang ini.


MOHAMED KHALED NORDIN merupakan naib presiden Umno.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.