Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Saksi: Jho Low perancang yang 'terbalikkan' transaksi RM32j ke akaun Najib

KES NAJIB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Jho Low adalah perancang yang telah menterbalikkan transaksi sebanyak RM32 juta yang dipindahkan ke akaun bank Najib Razak.

Berdasarkan pemeriksaan balas terhadap pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu, Jho Low telah mengarahkan pegawai bank berkenaan untuk berbuat demikian sebelum 31 Dis 2014.

Pemindahan pertama melibatkan kemasukan RM27 juta ke akaun bank Permai Binaraya Sdn Bhd dari akaun AmBank Najib yang berakhir dengan nombor 880.

Pemindahan kedua melibatkan kemasukan RM5 juta ke Putra Perdana Construction Sdn Bhd dari akaun AmBank Najib yang berakhir dengan nombor 906.

Perantara utama antara Permai Binaraya dan Yu adalah Jerome Lee manakala perantara utama bagi Putra Perdana Construction adalah Terence Geh.

Semasa perbicaraan di mahkamah Lee dan Geh dinyatakan mempunyai kaitan dengan Jho Low.

Kedua-dua syarikat itu dimiliki oleh Putra Perdana Bhd.

Yu bersetuju dengan peguam bela Harvinderjit Singh bahawa tujuan menterbalikkan transaksi itu supaya penyata kewangan yang telah diaudit Putra Perdana Bhd bagi tahun 2014 akan menunjukkan bahawa pendahuluan tunai dari syarikat itu telah dikosongkan.

Penipuan yang dikatakan oleh Jho Low

Yu bersetuju bahawa dia akan memberitahu pengurusan bank itu sekiranya beliau meragui bahawa Jho Low benar-benar berhubungan dengan pemilik akaun, Najib.

Yu mengakui perkara itu ketika disoal Harvinderjit mengenai sama ada beliau mula mempersoalkan sama ada Jho Low benar-benar berkomunikasi dengan pemilik akaun semasa transaksi.

Harvinderjit: Kamu setuju bahawa jika dalam masa berurusan dengan Jho Low, kamu ada keraguan yang kuat bahawa dia tidak berkomunikasi dengan pemegang akaun, kamu akan bangkitkan ia dengan bank (AmBank)?

Yu: Saya akan bangkitkan dengan (ketika itu Pengarah Ambank) Cheah (Tek Kuang)

Harvinderjit: Kemudian kamu enggan untuk berurusan dengan Jho Low dalam berurusan dengan akaun Najib?

Yu: Ya.

Harvinderjit: Kamu hanya ada syak wasangka yang kuat selepas itu?

Yu: Apabila menutup akaun.

Harvinderjit: Kamu setuju bahawa segalanya ini adalah untuk kekalkan keyakinan kamu?

Yu: Dia berurusan dengan Cheah juga.

Harvinderjit: Kamu setuju bahawa reprentasi (Jho Low) kepada kamu, bahawa dia berkomunikasi dengan pemegang akaun adalah untuk yakinkan kamu?

Yu: Saya andaikan dia begitu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan disambung semula pagi esok.