Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jumlah kes buang bayi paling tinggi di Johor

Kerajaan Johor menyatakan kebimbangan mengenai statistik yang menunjukkan negeri itu mencatat paling banyak kes pembuangan bayi.

Jeas Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Liow Cai Tung, berdasarkan rekod polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor, statistik bayi dibuang di negeri itu bagi tahun 2019 setakat Julai adalah sebanyak 13 kes.

Dari jumlah itu, daerah Johor Bahru mencatat kes paling tinggi diikuti Batu Pahat dan Kulai.

"Biasanya bayi yang dijumpai telah meninggal dunia tidak akan dirujuk kepada JKM.

"Bagaimana pun, bagi mengatasi masalah pembuangan bayi di negeri ini, pelbagai program dan kempen telah dijalankan seperti Program 'Diriku Permata Berharga (Dermaga)' oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) yang antara lain mendidik masyarakat khususnya pelajar sekolah tentang pentingnya kesihatan reproduktif atau implikasi kehamilan luar nikah," katanya.

Liow yang juga merupakan ahli dewan undangan negeri (Adun) Johor Jaya itu juga berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM100,000 melalui Belanjawan 2019 untuk menjalankan Program Dermaga dalam usaha membendung masalah sosial di kalangan generasi muda di negeri ini dan telah menjalankan program tersebut di 12 buah sekolah.

Selain itu, katanya, Program Generasi Ku Sayang (GKS) yang diwujudkan di Johor sejak 2014 untuk membantu golongan remaja hamil luar nikah dalam usaha mengelakkan kematian bayi dan ibu sepanjang kehamilan, telah merekodkan seramai 109 pelatih.

"Kebanyakkan pelatih pusat GKS negeri ini adalah dalam lingkungan umur 16 hingga 20 tahun. Setakat tahun ini, terdapat seramai tujuh orang pelatih di pusat GKS negeri Johor di mana pelatih akan diberi bimbingan kaunseling, agama dan cara menjaga bayi sepanjang mereka berada di pusat berkenaan, sehingga bersalin.

"Selain itu, JKM turut mengadakan program Seminar Pencegahan Pembuangan Bayi bersama 70 orang peserta yang terdiri daripada kaunselor sekolah, hospital serta jabatan seperti YPKDT, LPPKN (Perkhidmatan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara) dan PDRM pada Februari tahun ini," katanya.

Liow mencadangkan agar program seumpamanya dapat diadakan dengan lebih kerap memandangkan kes pembuangan bayi yang semakin bertambah.

Tambahnya, program kesedaran mengenai isu sosial perlu diteruskan agar dapat mengurangkan kes pembuangan bayi.

"Anak-anak muda juga perlu diberi maklumat tepat supaya dapat membendung masalah pembuangan bayi kerana segala usaha sepatutnya bermula daripada pendidikan.

"Saya juga menasihati remaja yang mengalami kehamilan luar nikah supaya mendapatkan bantuan melalui Talian Kasih 15999 (24 jam) atau JKM. Pembuangan bayi bukan cara menyelesaikan masalah sebaliknya ia akan membahayakan nyawa bayi atau mengakibatkan kematian bayi tersebut," katanya.