Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Azmin, Amiruddin perlu mohon maaf pada Anwar - NGO

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi PKR Selangor, Amiruddin Shari hari ini didesak memohon maaf kepada presiden parti itu, Anwar Ibrahim.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kumpulan Pendokong Reformasi Tegar (Kudrat), Baharudin Ali Masrom berkata permohonan maaf itu perlu dilakukan bagi mengelakkan kemerosotan sokongan terhadap PH.

Kudrat menghimpunkan penyokong tegar Anwar dan bekas anggota PKR.

“Pertikaian antara pemimpin dalam parti komponen (PH-PKR) cukup membimbangkan dan kita risau ini akan menyebabkan sokongan pada PH semakin berkurangan.

“Jadi, sebagai orang muda, dia patut jaga adab dan tak patut keluar kenyataan yang tak sepatutnya (kepada presiden).

“Kita mendesak Azmin dan Amirudin untuk memohon maaf secara terbuka dan tak lagi keluar kenyataan sepatutnya,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata menteri hal ehwal ekonomi itu juga tidak patut mengeluarkan kenyataan menyokong Dr Mahathir Mohamad kekal menjadi perdana menteri sehingga habis penggal.

Katanya, kenyataan sedemikian jelas tidak selari dengan konsensus PH.

“(Azmin) tak sepatut melanggar konsensus. Kita seharusnya kekal pada konsensus.

“(Ini tidak, kenyataan Azmin) Seolah-olahnya kalau ‘saya tak dapat jadi PM, Anwar Ibrahim pun tak patut naik (jadi PM)’. Ini tak sepatutnya berlaku,” katanya.

Baharudin berkata pihaknya yakin dengan janji Mahathir untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar, namun mendakwa ada individu yang cuba menangguk di air yang keruh.

“Saya yakin Tun Mahathir tak akan mungkir janji. Tetapi, dalam politik ada orang yang cuba cucuk.

“Jadi, saya takut langau-langau ini buat kacau.

“Tunggulah giliran masing-masing. Masing-masing masih muda. Mereka seperti ini tak sepatutnya berada dalam PH,” katanya.

Pada 29 Julai lalu, Azmin berkata Mahathir perlu diberi peluang memimpin hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.

Beliau berkata demikian bagi mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian parti itu dan sekutunya Umno terhadap Mahathir.

“Pendirian tersebut adalah seiring pandangan yang pernah saya lontarkan supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera,” kata Azmin dalam satu kenyataan.

Mengikut perjanjian dalam Pakatan Harapan (PH) Mahathir akan menyerahkan teraju kepimpinan negara kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Tiada tempoh masa khusus dinyatakan.

Isu perdana menteri terus hangat apabila pergeseran di antara kem Anwar dan timbalannya, Azmin Ali, terdedah dan berlaku secara terbuka baru-baru ini.

Bersatu Johor juga turut menyatakan sokongan agar Mahathir dibiarkan menjadi perdaha menteri selama lima tahun.

Terdahulu hari ini, Naib Presiden PKR, Zuraidah Kamaruddin juga menyatakan sokongan sama kepada Mahathir untuk terus menerajui negara.