Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pai, sate dan chips - kod untuk transaksi akaun Najib

KES NAJIB | Nama-nama makanan timbul di mahkamah hari ini apabila pihak pembelaan bertanya bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu perihal kod yang digunakan untuk pengiriman jutaan ringgit ke akaun anak guam mereka, Najib Razak.

Istilah seperti pai, sate dan chips digunakan dalam perbualan di BlackBerry Messenger (BBM) antara Yu dengan ahli perniagaan Jho Low.

Ketika pemeriksaan balas dengan Harvinderjit SIngh, Yu menjelaskan Jho Low menggunakan istilah pai dan chips untuk merujuk kepada dolar AS sementara sate untuk ringgit Malaysia.

Harvinderjit: Halaman terakhir. "Pai Amerika 681" tiba esok.

Joanna: Ya.

Harvinderjit: Adakah "pai Amerika" merujuk kepada dolar AS?

Joanna: Ya.

Apabila Harvinderjit bertanya mengapa pai, sate dan chips digunakan dalam perbualan, Yu berkata ia adalah istilah yang digunakan Jho Low.

Yu mengesahkan Jho Low memberikan surat yang menyatakan dana tersebut adalah "derma" dan "hadiah" dan dokumennya dilaporkan kepada gabenor Bank Negara ketika itu, Zeti Akhtar Aziz.

Joanna Yu

Harvinderjit: Berkenaan penglibatan anda dalam melaporkan kemasukan wang pada 2011, 2012, dan 2013, tiada usaha di pihak anda untuk menyembunyikan transaksi ini kepada pihak berkuasa?

Yu: Tiada apa untuk disembunyi.

Harvinderjit: Semua orang tahu.

Yu: Jabatan relevan yang mengendalikan pertukaran (mata wang) dan bos-bos. Mereka tahu.

Beli 620 pai

Selain pengiriman wang, mahkamah juga diberitahu yang istilah pai turut digunakan Jho Low untuk merujuk pembelian mata wang dolar AS untuk dipindah ke tempat lain.

Yu setuju dengan Harvinderjit apabila peguam itu berkata log perbualan BBM menunjukkan Jho Low mengarahkannya untuk memindahkan AS$620 juta dari akaun Najib ke sumber asal.

Ketika ditanya sama ada prosedur yang betul adalah untuk membeli dolar AS dahulu sebelum pengiriman, Yu berkata dia percaya prosedur itu berdasarkan nasihat Bank Negara.


Baca: Akaun AmBank Najib: 10 perkara dari keterangan Joanna Yu


Pembelian AS dolar tidak dibuat dengan jumlah yang banyak sekaligus.

Harvinderjit: Ketika anda melaporkan kepada Jho Low. "400 pai selesai". Anda beli (mata wang bernilai) AS$400 juta?

Yu: Ya.

Ketika ditanya sama ada AS$620 juta "dipulangkan kepada Tanore", Yu mengesahkannya. Tanore merujuk kepada Tanore Finance Corp, sebuah syarikat yang didaftar di British Virgin Islands.

Terdahulu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) V Sithambaran berhujah bahawa transaksi yang dirujuk pihak pembelaan dibuat antara 2011 dan 2013, yang tidak relevan kepada pendakwaan terhadap Najib yang merujuk tarikh antara 26 Disember 2014 hingga 2 Mac 2015.

Harvinderjit kemudian berhujah pihak pembelaan cuba menunjukkan (establish) wang tersebut datang dari sumber sama - Jho Low.

"Jika anak guam saya, dalam pemikirannya, (merasakan wang) adalah sumbangan, maka (soalan ini) relevan, yang arif."

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membenarkan pihak pembelaan meneruskan soalan mereka.