Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Lapangan terbang P Pinang sangat mengerikan, kata bos AirAsia

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia, Tony Fernandes mengkritik keadaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

"Lapangan terbang Pulau Pinang sangat mengerikan, saya rasa kasihan dengan kerajaan negeri, mereka telah melakukan kerja yang baik dalam bidang pelancongan.

"Namun kita tidak boleh kembangkan operasi. Pelanggan perlu berbaris panjang kerana rekaan lapangan terbang yang buruk," katanya.

Awal bulan ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow juga menyatakan sentimen yang sama.

Chow menggesa pihak berkuasa persekutuan dan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) menyelesaikan isu-isu pembiayaan untuk projek menaik taraf untuk dimulakan dengan segera.

Chow berkata PIA sudah "melampaui kemampuannya", jadi sebarang projek menaik taraf untuk menampung kapasiti 12 juta penumpang adalah sangat dialu-alukan.

MAHB merancang untuk mengemukakan pelan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk kelulusan menjelang akhir bulan Julai selepas projek itu menerima kelulusan yang diperlukan dari Mavcom, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian sebagai pemilik tanah, lapor Bernama.

Sebaik sahaja MBPP meluluskan pelan itu, projek pelebaran lapangan terbang akan bermula pada suku pertama tahun depan.