Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia akan cabar saman pelucuthakan 1MDB

Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia akan mencabar saman pelucuthakan sivil yang difailkan oleh SPRM untuk mendapatkan balik aset bernilai RM270 juta berkaitan 1MDB.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh menyatakan demikian selepas pengurusan kes di kamar  Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur T Kavita.

"Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia tidak mempunyai peguam hari ini, mereka akan cabar (saman)," katanya kepada pemberita.

Farah berkata mahkamah menetapkan 21 Ogos untuk pengurusan kes bagi membolehkan pertubuhan itu melantik peguam dan mencabar pelucuthakan RM170,000.

Pihak lain dalam saman pelucuthakan 1MDB yang menjalani pengurusan kes hari ini adalah Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Yayasan Penyelidikan Transformasi.

Bagi kes Pekida, mahkamah juga menetapkan 21 Ogos untuk mendengar keputusan perwakilan yang dihantar oleh pertubuhan itu kepada Jabatan Peguam Negara.

[Baca berita penuh]

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan Pekida tidak membantah terhadap permohonan notis usul dikemukakan pendakwa raya bagi melucut hak wang RM140,000 milik persatuan itu yang disita.

Peguam Nor Zabetha Muhammad Nor, yang mewakili Pekida selaku responden berkata Pekida cuba untuk menyelesaikan kes itu dan surat representasi telah dihantar kepada SPRM pada 1 Julai lalu bagi memaklumkan anak guamnya tiada bantahan terhadap permohonan berkenaan.

“Bagaimanapun, pihaknya masih belum menerima jawapan berhubung perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Farah Yasmin Salleh mengesahkan surat representasi telah dihantar oleh responden dan memaklumkan representasi tersebut masih dalam pertimbangan.

“Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 Ogos untuk pengurusan kes bagi mendapatkan perkembangan mengenai surat representasi yang dihantar oleh Pekida,”katanya.

Sementara itu, bagi kes melucut hak wang RM407,000 membabitkan Yayasan Penyelidikan Transformasi (FORT), Farah Yasmin memaklumkan bahawa tiada peguam atau wakil daripada pihak yayasan hadir dalam prosiding hari ini.

“Kes berkenaan ditetapkan untuk pendengaran pewartaan pada 6 Ogos depan,” katanya.

Farah Yasmin turut memaklumkan kes melucut hak wang RM170,000 membabitkan Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia (GBG1M) ditetapkan untuk pengurusan kes pada 21 Ogos depan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Najib Razak.