Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis tangkap lagi Orang Asli Temiar

Polis hari ini sekali lagi melakukan tangkapan terhadap penduduk Orang Asli suku Temiar di Kampung Sungai Papan, Gerik.

Tiga Orang Asli suku Temiar ditangkap pagi ini ketika operasi merobohkan sekatan yang dibina penduduk di sana bagi menghalang pembalak, maklum NGO Centre for Orang Asli Concerns (COAC). 

"Polis, pembalak dan Jabatan Perhutanan telah merobohkan bloked di Kampung Sungai Papan/ Air Laba di Gerik sekali lagi.

"Tiga Orang Asli Temiar telah ditahan iaitu Johari Aleuj, Pam Yeek dan Shukri Man.

"Lima buah motorsikal dan sebuah kamera juga telah dirampas. Mereka dibawa ke Balai Polis Gerik sekarang," kata COAC pada hantaran di Facebook.

Menurut COAC pasukan polis diketuai seorang anggota tanpa memakai seragam bernama "Sarjan Hashim."

Tangkapan hari ini berlaku meski pun terdapat rayuan daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy sebelum ini.

Sabtu lalu, tiga orang penduduk Temiar ditangkap apabila pihak polis dan pembalak merobohkan sekatan di Kampung Sungai Papan.

Mereka dibebaskan selepas Waythamoorthy menggesa pihak polis agar tidak berpihak kepada pembalak.

Susulan kejadian pada Sabtu lalu itu, penduduk Temiar berjanji akan meneruskan sekatan mereka yang dibina semula semalam, menyebabkan penangkapan terbaru ini.

Masyarakat Orang Asli mendakwa pembalak melanggar hak tanah adat mereka tetapi kerajaan Perak menegaskan pihaknya berhak mengeluarkan permit pembalakan di kawasan tersebut.

Terdahulu, Waythamoorthy turut menggesa kerajaan negeri mengiktiraf hak tanah adat Orang Asli.

Bagaimanapun, tiada maklum balas daripada kerajaan Perak susulan gesaan itu.

[Baca berita penuh]