Krisis PKR: PAS pilih tonton dari luar
PAS hanya mahu menjadi penonton dari luar sahaja ekoran krisis yang berlaku dalam 'rumahtangga PKR'.
Timbalan Mursyidul Am PAS Ahmad Yakob berkata, hal rumahtangga PKR itu boleh ditonton semua orang untuk membuat tafsiran susulan pergeseran antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dengan timbalannya, Mohamed Azmin Ali.
"Perkara dalam rumah orang, saya tonton dari luar sahajalah, apa berlaku saja, saya nak komen banyak tidak baik.
"Hal rumahtangga orang ini kita serah kepada masyarakat buat pentafsiran," katanya.
Ahmad yang juga menteri besar Kelantan berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas isu tersebut selepas merasmikan bangunan Wahdah Temasek hasil wakaf masyarakat Singapura bernilai RM 1.5 juta di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Nilam Puri, Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu Anwar menggesa Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi supaya meletakan jawatan daripada kabinet jika terbukti terlibat dalam video seks yang kini dalam siasatan polis.
Susulan itu Azmin kembali membidas presidennya dan meminta supaya Anwar bermuhasabah untuk “cermin diri sendiri”.
Sementara itu, Ahmad mengingatkan semua pihak menjaga kestabilan politik bagi mengelak negara terjebak ke dalam konflik yang akhirnya akan membawa kepada kemusnahan.
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pekan itu berkata, kestabilan politik amat mustahak untuk negeri dan negara, ia boleh diganggu gugat sama ada oleh anasir luar mahupun (masalah) dalaman.
"Apa-apa pun berlaku sesuatu perkara yang tidak menyenangkan rakyat, yang menimbulkan rasa kurang yakin, ia akan mengakibatkan krisis yang tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang aman," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai