Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Apa nasib kes Beng Hock di bawah kerajaan PH?

Gurindam syair untuk keluargamu

Lagu puisi untuk anak kamu

Yang tak pernah kau lihat mukanya

Lagu dan puisi untuk anak kamu

Yang menyambung pejuangan bangsa...

Setiap tahun, lirik lagu ini akan dapat didengar di majlis mengenang mendiang Teoh Beng Hock.

Lagu berjudul "Anak Muda Bernama Teoh” ini adalah dari puisi nukilan penulis dan aktivis Hishamuddin Rais, kemudiannya dijadikan lagu dan dipersembahkan oleh aktivis dan pemuzik Zamri Mat Jidan atau lebih dikenali sebagai Nik Jidan.

Pada 15 Julai 2009, Teoh yang merupakan pembantu politik Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, telah dibawa ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang ketika itu di bangunan Plaza Masalam, Shah Alam.

Namun keesokan hari, pemuda yang hanya berusia 30 tahun itu ditemui mati di koridor tingkat lima bangunan itu. Kematiannya telah menggemparkan seluruh Malaysia.

Kini sedekad sudah berlalu, bagi keluarga Teoh dan badan bukan kerajaan yang berjuang bersama mereka, ia satu tempoh masa yang sukar dilalui.

Bagi menuntut keadilan untuk Beng Hock, mereka menjelajah ke seluruh negeri di Semenanjung Malaysia untuk mendapatkan sokongan masyarakat. Mereka telah melalui pelbagai proses kehakiman, dari inkues kematian ke Mahkamah Rayuan.

Mereka juga menyaksikan sejarah Pakatan Harapan mengambil alih kuasa pemerintahan kerajaan pusat.

Bagaimanapun, perjuangan mereka menuntut kebenaran di sebalik kematian Beng Hock masih belum selesai apabila sekali lagi mendapati bahawa pihak polis akan menyiasat kes kematian mendiang di bawah seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu "pengurungan secara salah", yang dilihat sebagai jenayah ringan.


Hadiah hari jadi yang musnah

Pada 20 Jun tahun lalu, kabinet membuat pengumuman bahawa kerajaan akan menyiasat semula kes kematian Teoh. Hari itu ialah sehari sebelum hari jadi Teoh Lee Lan, iaitu adik kepada Beng Hock.

Pengumuman itu umpama hadiah hari jadi yang paling bererti kepada Lee Lan, namun setahun kemudian, hadiah itu musnah pada waktu yang sama.

Menurut Lee Lan, pada bulan lalu, pihak polis meminta beliau hadir ke balai polis untuk memberi keterangan dan diberitahu bahawa kes kematian abangnya disiasat semula di bawah seksyen 342.

“Polis tak kata tempat dan masa untuk saya beri keterangan. Saya pun telefon peguam kami, Ramkarpal Singh untuk buat susulan lanjut.

“Ramkarpal tanya sebab kenapa buka siasatan bawah seksyen 342, polis kata ini arahan pihak atasan. Lepas itu polis kata saya tak perlu bagi keterangan dulu sebab mereka pun tidak tahu nak guna seksyen mana untuk panggil saya,” katanya.

Polis seolah-olah tidak membuat sebarang kajian sebelum memulakan tugas siasatan, kata Lee Lan ketika diwawancara oleh Malaysiakini.

Sekiranya seseorang disabit kesalahan di bawah seksyen 342, tertuduh boleh dikenakan penjara selama setahun atau denda RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Tiada penjelasan daripada kerajaan

Bagi Lee Lan, tiada keikhlasan dalam tindakan polis berhubung kes berkenaan. Ia kerana dalam laporan RCI, ramai pegawai SPRM yang didakwa memberi keterangan palsu namun perkara itu tidak diambil kira dalam siasatan terbaru ini.

“Kamu (polis) boleh guna beberapa seksyen termasuk sekyen 342 ini untuk menjalankan pendakwaan. Mengapa hanya memilih seksyen yang paling ringan ini?” tanya Lee Lan dengan nada yang penuh kekecewaan.

Ramkarpal turut mengkritik alasan siasatan tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu tindakan yang tidak masuk akal. Beliau menegaskan bahawa perlu ada individu yang bertanggungjawab atas tindakan jenayah yang berlaku dalam kes ini.

Ramkarpal yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor berpandangan bahawa persoalan utama terhadap kerajaan berhubung kes ini ialah apabila tidak memberikan penjelasan kepada rakyat.

 “Saya tidak rasa kes ini susah diselesaikan...kamu tidak boleh mengheret kes ini begitu lama, sudah pun 10 tahun. Sama ada kamu membuat pendakwaan atau kamu beri alasan kenapa kamu tidak membuat pendakwaan.

“Masalah sekarang ialah tiada sesiapa yang memberi penjelasan, semua orang membuat spekulasi masing-masing,” katanya.

Sikap tenang

Sepuluh tahun lalu, Lee Lan melihat dirinya sebagai seorang gadis biasa yang langsung tidak tahu tentang politik. Kini, beliau sudah menjadi seorang wanita yang jelas memahami proses perundangan, memikul tanggungjawab untuk berdepan dengan media. Beliau juga bakal menjadi seorang ibu pada bulan hadapan.

Menjelang bulan Jun dan Julai setiap tahun, Lee Lan akan menerima pelbagai jemputan wawancara oleh pihak media dan sibuk dengan aktiviti mengenang Beng Hock.

Tanggungjawab ini tidak mudah dipikul, namun sikap Lee Lan yang santai dan tenang dapat memberikan kekuatan kepadanya meneruskan perjuangan.

“Mungkin sebab sikap saya ini, tekanan saya pun berkurang. Saya tidak pernah bertanya mengapa tragedi ini berlaku ke atas keluarga saya. Saya tidak bertanya kenapa," katanya.

Letih dan seksa

Walaupun bersikap optimis, Lee Lan mengaku tahun ini jauh lebih letih dan seksa apabila pemimpin parti politik yang sebelum ini bersamanya kini sudah menjadi kerajaan.

“Saya berasa sangat letih, sangat seksa, seolah-olah kehilangan harapan. Setahun lepas, kami berhadapan dengan kerajaan pusat yang tidak bertanggungjawab, mereka tidak ingin mendengar suara hati kami, saya tidak mampu membuat apa-apa.

 “Kini kerajaan sudah bertukar. Individu-individu yang pernah janji menyokong kami...sekarang memberikan jawapan sebegini kepada saya. Apa lagi yang saya boleh kata?” keluh Lee Lan.

Seperti kemungkinan peralihan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14, kes kematian Beng Hock juga berada di luar jangkaan Lee Lan.

“Selama sepuluh tahun ini, ramai ahli politik dan orang awam yang memberitahu saya....hanya apabila kerajaan ditukar keluarga saya akan berpeluang mencari kebenaran dan melantik pegawai penyiasat yang baru.

“Tiap-tiap tahun, terutamanya DAP memberitahu saya di majlis peringatan Beng Hock, mereka berkata mereka tidak akan lupakan kami, tidak akan putus asa untuk mencari pembunuh. Namun setahun kemudian, kamu (kerajaan) pula berkata kes ini disiasat bawah seksyen 342.

“Tukar kerajaan, perkara yang (sebelum ini dilihat) paling sukar dilakukan pun sudah dicapai. Bagaimana pula jawapan untuk kami? Kenapa janji tidak dapat ditunaikan?” katanya dengan air mata membasahi pipi.

 Ketika ditanya, Lee Lan menegaskan dia tidak akan berputus asa dan berhenti berjuang. Namun harapannya, setahun dari hari ini, mendiang abangnya akan mendapat pembelaan.

“Saya berharap pada tahun depan hari ini, mahkamah sudah ada penghakiman yang adil, dan pembunuh sudah disabitkan atas kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Mangsa perebutan kuasa politik

Bagi Nik Jidan, Beng Hock adalah mangsa yang terkorban dalam perebutan kuasa politik di Malaysia.

“Sejak kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor pada 2008 iaitu negeri paling kaya dalam Malaysia, kemarahan Umno tidak dapat dibendung lagi dan kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri Najib Razak yang baru menggantikan Abdullah Ahmad Badawi, telah cuba menggunakan SPRM untuk mencari kesalahan kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor ketika itu,” jelasnya.

Nik Jidan antara yang bersama menyokong Pakatan Rakyat ketika itu, sambil terus mengikuti kes kematian Beng Hock.

"Yang mendorong saya terlibat dalam kempen (menuntut pembelaan untuk Beng Hock) ini adalah ilmu pengetahuan untuk menegakkan keadilan dan kesedaran diri,” katanya.

Pembunuh mesti disabit kesalahan

Nik Jidan turut menyorot bahawa kematian Beng Hock bukan satu-satunya kes yang melibatkan jatuh dari bangunan SPRM.

Nik Jidan memetik kematian Ahmad Sabrani Mohamed pada 6 APril 2019. Sabrani yang berusia 56 tahun ketika itu bertugas sebagai penolong pengarah pejabat Kastam Selangor sebelum ditemui mati jatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.

Justeru, Nik Jidan menggesa kerajaan lebih bersungguh-sungguh menyiasat kebenaran dalam kedua-dua kes kematian dalam tahanan itu bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman Malaysia.

 “Saya berpendapat bahawa perjuangan keluarga Teoh dan TBH Trust for Democracy ini sebagai nadi penggerak setiap jiwa yang dahagakan keadilan.

“Saya rasa kerajaan pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad haruslah menunjukkan sikap dan minat untuk mencari kebenaran dalam kes-kes kematian dalam tahanan dan kes-kes yang melibatkan pemain politik di dalam negara ini.

“Jika tiada individu yang dihukum, maka keadilan belumlah seratus peratus ditegakkan,” ulasnya.

Tahun ini, TBH Trust for Democracy mengadakan siri aktiviti yang bertemakan “10 Tahun, Berdiam Diri Bukan Pilihan”. Nik Jidan antara penyanyi yang akan membuat persembahan di konsert yang akan diadakan pada 27 Julai 2019 itu.

Bagi Nik Jidan, kematian Beng Hock masih mempunyai banyak kesangsian dan keraguan.

“Isunya kita masih lagi mencari siapa yang bersalah dalam pembunuhan ini. Mengapa Beng Hock yang sedang disiasat boleh jatuh dari pejabat SPRM? Siapakah dalang di sebaliknya? Apakah dapatan pakar patologi terhadap kesan cekik pada leher Beng Hock?" katanya.

Seoalah dipermainkan ahli politik

Mengulas perkembangan kes kematian Bng Hock, Presiden TBH Trust for Democracy Ng Geok Chee tanpa berlapik mengkritik kerajaan pusat.

“Perkembangan ini langsung tidak boleh diterima.

“Jangan kata Lee Lan. Kami walaupun bukan keluarga mangsa, tiada hubungan langsung dengan keluarga Beng Hock pun berasa marah,” katanya.

Ng menzahirkan kekecewaannya kerana baginya, kes kematian Beng Hock seolah-olah dipermain-mainkan oleh ahli politik dan ia masih tiada penyelesaian yang jelas.

“Kami ingat kerajaan baru akan reformasikan sistem kerajaan, menegakkan imej polis. Apabila kami menulis surat kepada Peguam Negara Tommy Thomas, tiada sebarang alasan. Bagi (surat) kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, dapat reaksi yang sama.

“Kami pernah mempunyai harapan yang begitu tinggi. Sekarang seolah-olah kembali ke titik di mana kami bermula,” kata Ng yang turut merupakan seorang peguam.

Ng berpandangan bahawa kerajaan cuba mendapatkan sokongan daripada sehingga dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan reformasi yang diperlukan dan mengabaikan tuntutan rakyat.

Jelas Ng, dengan perkembangan kes yang mengecewakan, pihaknya mengambil keputusan untuk kembali ke lokasi Beng Hock ditemui mati bagi mengadakan majlis kenangan pada tahun ini.

Beliau menegaskan bahawa nyawa Beng Hock tidak boleh dikorbankan dengan begitu sahaja dan mengulangi tekad TBH Trust untuk meneruskan perjuangan menegakkan keadilan untuk Beng Hock, dan memberi peringatan kepada masyarakat agar tragedi yang sama tidak berulang.