Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Lokman Adam hantar video seks pada forensik Indonesia

Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor hari ini berlepas ke Indonesia bagi menghantar klip video seks luar tabii mirip seorang menteri kabinet untuk dianalisis sebuah syarikat forensik republik itu.

Katanya, keputusan analisis itu boleh diketahui dalam tempoh dua hingga tiga hari sahaja.

"Kita ada lebih kurang 20 keping gambar Azmin Ali dan 12 video ceramah dia dalam pelbagai acara. Haziq pula kita cuma ada beberapa yang akan kita serahkan kepada pakar di Indonesia.

"Laporan forensik ini kita buat bagi memastikan video yang ditularkan oleh pihak-pihak tertentu itu adalah video tulen atau tidak.

“Dan kalau ia tulen maka Azmin suka, tak suka kena jawablah pada rakyat Malaysia" katanya di pintu pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang hari ini.

Lokman enggan menamakan syarikat itu atas alasan bimbang disabotaj pihak berkepentingan.

Bagaimanapun, katanya, institusi kehakiman Indonesia turut menggunakan perkhidmatan syarikat terbabit untuk mengesahkan ketulenan bukti mahkamah.

Katanya, tindakan itu diambil selepas Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin memberitahu hasil analisis video seks sejenis itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Kelmarin, Muhyiddin dilaporkan berkata, tiada tarikh ditetapkan untuk menyelesaikan siasatan ke atas video seks itu.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pula pada 13 Julai dilaporkan berkata, dalang di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri telah dikenal pasti.

Pada 11 Jun lalu, beberapa klip video seks sejenis yang memaparkan dua lelaki melakukan aksi intim dihantar kepada wartawan dan penyokong PKR.

Keesokan harinya, Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz tampil dan mendakwa bahawa dia adalah salah seorang daripada dua orang lelaki dalam video itu.

Dia juga mendakwa Azmin sebagai teman seranjangnya dalam video itu.

Azmin bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut, dan berkata ia adalah komplot jahat yang bertujuan untuk membunuh kerjaya politiknya.