Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KKM tubuh JK siasat Orang Asli dipaksa terima ubat perancang keluarga

Kementerian Kesihatan (KKM) telah menubuhkan satu jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat dakwaan mengenai wanita Orang Asli di Perak dipaksa mengikuti program perancang keluarga.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, siasatan dalaman itu melibatkan tiga perkara dengan siasatan menyeluruh sehingga selewat-lewatnya 26 Julai ini.

”Siasatan dalaman itu akan menyiasat sama ada dakwaan berlakunya paksaan dalam penerimaan ubat perancang dalam kalangan Orang Asli.

“Kedua ialah mengenal pasti kelemahan dalam penyampaian program perancang keluarga dan yang ketiga ialah saranan penambahbaikan ke atas penyampaian program itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dzulkefly berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan diadakan pada minggu hadapan yang dianggotai oleh panel pemerhati yang dipengerusikan oleh Dr Ayob Bah Los di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

"Kita ada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan untuk dipatuhi semua pengamal perubatan kami dalam program ini. Bagaimanapun, jika ada sebarang kekurangan (salah laku) saya memberi ruang kepada siasatan itu,” katanya.

Beliau juga bersedia menerima sebarang kritikan dari luar dan sanggup berbincang dengan pihak aktivis yang terlibat dalam isu berkenaan.

Dzulkefly turut mengulangi pendirian KKM bahawa mendapatkan persetujuan yang sah adalah komponen penting bagi profesional penjagaan kesihatan dan pihaknya menghormati autonomi pesakit termasuk memilih atau menolak perancangan keluarga.

Selasa lepas, lima wakil Orang Asli menyerahkan memorandum kepada kerajaan berhubung perkara itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Dzulkefly berkata penyakit bawaan makanan di negara ini menunjukkan peningkatan apabila 496 kes keracunan makanan direkodkan pada tahun lepas, meningkat sebanyak 23.69 peratus berbanding 401 kes pada 2017.

“Sejak Januari hingga Mei 2019 pula, 213 kejadian keracunan makanan dilaporkan melibatkan 68 kejadian di sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 26 lagi kejadian di sekolah bukan di bawah KPM, 19 kejadian di institusi, 55 kejadian keracunan di rumah persendirian dan 45 kejadian di tempat lain,” katanya.

KKM memandang serius mengenai kejadian kes keracunan makanan dan menegaskan bahawa soal keselamatan dan kebersihan makanan tidak boleh dipandang ringan.

“Kawalan keselamatan makanan masa kini telah menjadi begitu mencabar disebabkan penghasilan makanan yang sangat kompleks. Punca pencemaran perlu dikawal di sepanjang rantaian bekalan makanan bermula dari bahan mentah sehingga ke peringkat penghidangan,” katanya.

Tahun lepas, 126,896 premis makanan di seluruh negara telah diperiksa dengan 124,594 premis (98.2 peratus) didapati bersih, manakala hanya 2,302 premis (1.81 peratus) tidak bersih.

Mengulas mengenai sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia yang julung kali diadakan dengan tema ‘Keselamatan Makanan Tanggungjawab Setiap Individu’, Dzulkefly berkata ia bakal mempertingkatkan kesedaran keselamatan makanan dalam melindungi kesihatan pengguna selain memberi tumpuan dalam mencegah, mengesan dan menguruskan risiko penyakit bawaan makanan.

- Bernama