Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Idris: Agak-agaklah nak kata pun...

PAS mempunyai cara tersendiri menjawab ajakan dibuat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai penyatuan orang Melayu di negara ini.

Petang tadi Naib Presiden PAS Idris Ahmad secara bersahaja berkata, pihak PH perlu lebih cermat membuat kenyataan mengenai isu berkenaan.

Kata Idris, adalah lebih baik kalau mereka jangan menyebut isu berkenaan.

"Cuba pakat bilang ahli Bersatu, PAN (Amanah), PKR di kawasan masing- masing. Berapa orang?" katanya.

Mengiringi kenyataan tersebut ialah tangkap layar berita Malaysiakini mengenai kenyataan dibuat Naib Presiden Amanah, Dr Mujahid Yusof.

Dalam laporan itu Mujahid berkata orang Melayu kini tiada pilihan kecuali menyertai salah satu parti dalam kerajaan seperti Amanah, Bersatu dan PKR.

Beliau yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata ini idea yang dibawa Umno dan PAS sudah lapuk dan tidak lagi dapat membawa orang Melayu ke arah lebih progresif.

"Kita bukan bercakap tentang parti, tapi kita nak supaya Melayu tu dibawa kepada taraf dan tahap dalam keadaan Malaysia baru yang lebih dinamik, progresif.

"Yang parti lain (Umno dan PAS) ni tak mungkin bawa (ke tahap itu) sebab idea mereka sudah obselete (lapuk). Dah tepu dengan berbagai idea yang tak maju, dengan pelbagai isu rasuah yang berlaku," katanya pada 6 Julai.


Baca Dr Mahathir pelawa semua parti Melayu sertai Bersatu


Untuk rekod, Amanah adalah parti yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin kanan PAS. Keadaan itu menjadikan Amanah - selain DAP - sebagai salah satu seteru paling ketat PAS.

Bersatu pula ditubuhkan oleh bekas pemimpin kanan Umno.

Melalui gabungan dengan PKR dan DAP dalam PH, mereka berjaya membentuk kerajaan pusat melalui PRU ke-14 pada tahun lalu. PAS yang sebelum itu merangka strategi mahu menjadi kerajaan melalui peranan sebagai penentu kuasa (kingmaker) kekal menjadi pembangkang.

"Agak-agaklah kalau hendak kata pun.

"Lebih baik jangan sebut bab ini. Kesian," kata Idris.