Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Isytihar harta: Kenapa DAP pula jadi mangsa? - Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof meluahkan rasa pelik dengan pendirian terbaru Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mendakwa pengisytiharan harta ahli parlimen dipengaruhi idea komunis dan DAP.

Sedangkan, katanya Abdul Hadi sendiri pernah menyokong langkah untuk mengisytihar harta sebelum mengeluarkan pendapat berbeza kini.

“Sebelum ni dia (Abdul Hadi) kata dia sokong, tetapi kemudian timbalan dia (Tuan Ibrahim Tuan Man) kata ini bercanggah dengan Islam.

“Hari ini kita dengar pula ini agenda komunis dan sosialis, dan pengaruh DAP. Saya sukar nak bagi pandangan kepada pandangan mereka yang flip flop,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Street Raya Masjid dan Surau Jumaat Wilayah Persekutuan, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini.

Mujahid berkata mana-mana pihak tidak seharusnya menggunakan agama untuk menyokong hasrat mereka jika tidak mahu mengisytihar harta.

“Itu seolah-olah kita menunggang agama untuk satu jawapan yang salah.

“Kedua, jangan salahkan parti lain sebab isu ketelusan ini kita dah sebut dalam manifesto kita. Bukan soal DAP, semua parti bersetuju termasuklah PAS dulu. Kenapa hari ini DAP pula jadi mangsa?” soalnya lagi.

Mujahid turut mendedahkan yang dia tidak pernah lupa untuk mengiystiharkan asetnya sejak masih menjadi pembangkang lagi atas dasar tanggungjawab.

“Saya secara peribadi semasa jadi pembangkang, setiap tahun saya isytihar aset. Adakah saya komunis?,” tambahnya.

Semalam, dalam sidang media di Rusila, Marang, Abdul Hadi menyifatkan isytihar harta sebagai konsep ataupun idea komunis dan sosialis, serta tindakan yang dibayangi oleh pengaruh DAP dalam kerajaan PH.

Kenyataannya itu dibuat susulan kenyataan Tuan Ibrahim di Parlimen bahawa pengisytiharan harta akan menjejaskan harta dan individu tersebut, di samping menimbulkan rasa dengki.

Pada hari yang sama Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua anggota Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.