Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ada sekolah berkempen burukkan minyak sawit Malaysia

Fahami apa yang dilakukan kerajaan, bukannya menyemai kebencian pada minyak sawit dalam fikiran pelajar, kata Menteri Perusahaan Utama, Teresak Kok hari ini.

Bercakap kepada media di parlimen hari ini, Kok berkata, ada sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur mengadakan persembahan dengan memberikan imej negatif kepada industri minyak sawit negara.

Katanya melalui klip video yang disaksikan sekolah antarabangsa itu membuat persembahan dengan memaparkan pelajar membantah aktiviti penanaman kelapa sawit.

Malah kata Kok mereka juga mengaitkan industi itu dengan penebangan pokok serta pemusnahan hutan.

Melalui persembahan berkenaan - yang turut tersebar di media sosial - pelajar mendakwa penanaman kelapa sawit menyebabkan kepada penebangan hutan dan kematian sehingga 3,000 orang utan setahun.

Salah seorang pelajar itu malah mendakwa, tanpa tindakan segera dalam tempoh 10 tahun "makhluk yang cantik" itu akan lenyap dari dunia.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai situasi sebenar aktiviti penanaman kelapa sawit, Kok menyeru sekolah antarabangsa terbabit menghentikan semua tindakan yang menyemai kebencian kepada minyak sawit seperti yang dilakukan negara Eropah ke atas Malaysia.

"Saya mahu guru besar dan guru-guru yang terlibat, mereka harus tampil datang ke kementerian dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk memahami usaha penambahbaikan serta pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan.

"Mereka tidak sepatutnya menyemai kebencian kepada minyak sawit Malaysia dalam fikiran pelajar," katanya.

Kok menambah MPOB juga pernah berkunjung ke sekolah berkenaan untuk menanam kesedaran mengenai kegiatan penanaman kelapa sawit namun ditolak oleh persatuan ibu bapa dan guru terbabit.

Katanya alasan penolakan itu ialah pihak sekolah tidak menyukai minyak kelapa sawit.

"Dan sekarang mereka membuat persembahan terbuka di sekolah dan menyebarkan sentimen antiminyak sawit kepada pelajar Malaysia," katanya.

[Baca berita penuh]