Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Isteri pastor Koh nafi ‘sanggah’ PM

Susanna Koh menafikan dia “menyanggah” atau “mencela” Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkaitan pembentukan pasukan petugas bagi menyiasat kes kehilangan suaminya pastor Raymond Koh dan aktivis Perlis Amri Che Mat.

Dalam kenyataan petang ini, Susanna merujuk kepada laporan Malaysiakini berkaitan perkara itu pagi ini.

Katanya portal berita ini memberikan gambaran tidak tepat berkaitan rayuan dan kebimbangan anggota terlibat berkaitan pasukan petugas itu.

“Amat mengecewakan Malaysia membuat kenyataan berkaitan kerana kita tidak berada dalam kedudukan menyanggah atau mencela pihak berkuasa.

“Apa yang kita boleh kita buat adalah merayu terhadap hasrat murni PM yang kita sayangi dan kerajaan Pakatan (Harapan) kita kita dukung sepenuhnya,” katanya.

“Kita merayu dengan PM dan menteri dalam negeri untuk membantu kita menyingkap kebenaran apa yang berlaku kepada suami saya, bapa kepada anak-anak saya, dengan pelantikan pasukan petugas yang bebas, tidak memihak dan berwibawa.”

Laporan pagi tadi menyebut keluarga Koh membidas Mahathir yang mempertahankan pemilihan anggota pasukan petugas khas yang menyiasat semula kehilangan paderi berkenaan.

Menurut isteri Koh, Susanna Liew, keluarga mereka berharap petugas khas itu bebas dan mempunyai kredibiliti menyiasat kehilangan suaminya.

“Ini bukan tentang senangkan hati sesiapa. Ini tentang buat apa yang betul, prinsip asas keadilan dan kesamaan.

“Perdana menteri cakap tentang menegakkan kedaulatan undang-undang. Hampir tiga tahun mangsa yang hilang secara paksa ini dan keluarga mereka tak dapat keadilan sewajarnya.

“Kerajaan berhutang pada mereka dan seluruh rakyat, keadilan…hanya keadilan. Kita hanya boleh tahu apa yang sebenarnya terjadi pada Koh, Amri, Joshua Hilmy dan Ruth jika orang yang berwibawa dilantik ke dalam pasukan petugas khas," katanya seperti dipetik The Malaysian Insight.

Liew membuat kenyataan itu selepas Mahathir semalam berkata kerajaan "tidak boleh memuaskan hati semua orang" apabila ditanya tentang kekecewaan keluarga Koh dan Amri Che Mat dengan pemilihan anggota petugas khas.

Suhakam sebelum ini menyifatkan kes Koh dan Amri sebagai kehilangan paksa yang melibatkan polis cawangan khas.

Keluarga kedua-dua mangsa kecewa dengan pemilihan anggota petugas khas berkenaan.

Mereka antara lain mengecam pelantikan bekas ketua Bahagian Perundangan PDRM Mokhtar Mohd Noor, dan berkata anggota polis yang terlibat dalam inkuiri Suhakam sebelum ini tidak sepatutnya dilantik.

Isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin mendakwa unit Mokhtar "terlibat dalam sisatan penuh kelemahan terhadap penculikan Amri dan dalam pasukan yang mewakili PDRM dalam inkuiri Suhakam".

Justeru, Norhayati menyifatkan Mokhtar mempunyai konflik kepentingan.

Sementara itu, laporan pagi tadi turut memetik peguam Jerald Gomez berkata, keluarga Koh menggesa kerajaan menubuhkan petugas khas yang baru.

“Kalau kerajaan tak mahu pertimbang pandangan keluarga ini, fikirkanlah apa yang orang ramai mahukan ialah pasukan petugas khas yang bebas, adil dan berwibawa.

"Kita harap kerajaan akan bubar pasukan ini dan bentuk pasukan yang baru,” katanya seperti dilapor.


NOTA EDITOR: Laporan asal berita ini mentafsirkan komen Susanna dan Gomez mengkritik perdana menteri. Malaysiakini kesal sekiranya artikel itu memberikan maksud salah terhadap apa yang ingin disuarakan mereka.