Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pencemaran udara: Pembangkang serah memo pada MB Johor

Kerajaan negeri Johor disaran supaya menyediakan pelan kerja atau pemantauan yang komprehensif terhadap kawasan perindustrian Pasir Gudang agar sejajar dengan perubahan pembangunan yang berlaku di kawasan itu.

Ketua Pembangkang Johor Ir Hasni Mohamad berkata ia kerana Pasir Gudang adalah kawasan pertumbuhan industri yang penting kepada Johor dan sebarang kegagalan dalam usaha mewujudkan pelan pengurusan yang baik hanya akan menjejaskan negeri secara keseluruhannya.

Beliau yang merujuk kepada insiden yang baru berlaku di Pasir Gudang di mana sejumlah murid dan pelajar dari beberapa sekolah mengalami sesak nafas dan muntah akibat dipercayai menghidu udara tercemar, sejak Khamis berkata, jika tiada langkah diambil kerajaan untuk memastikan keadaan adalah terkawal dan dapat diatasi dalam tempoh masa tertentu, beliau yakin lebih banyak bantahan akan dibangkitkan.

“…dan ini tidak baik untuk Johor, lebih-lebih lagi Pasir Gudang merupakan kawasan pertumbuhan industri yang penting kepada negeri,” kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu kepada media ketika ditemui pada sesi penyerahan memorandum kes pencemaran kimia Pasir Gudang kepada Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal di perkarangan Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar hari ini.

Memorandum yang mewakili suara 23 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti pertubuhan Veteran Umno, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), PAS Negeri Johor, MCA dan MIC itu, diterima oleh Setiausaha Sulit Khas Menteri Besar, Muhd Shamsuddin Pai Jan.

- Bernama