Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kita janji Dr M jadi PM, saya TPM, kata Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menolak cadangan yang mendesaknya supaya meletak jawatan dan memberi laluan kepada suaminya, Anwar Ibrahim.

"Tidak bangkit. Sebab kita dah janji bahawa Tun M (Dr Mahathir Mohamad) perdana menteri, saya TPM (timbalan perdana menteri)," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Adun Jeram Mohd Shaid Rosli dari parti Bersatu, semalam yang berkata bahawa Anwar menjadi timbalan perdana menteri adalah satu langkah yang perlu baginya untuk menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

Ini susulan desakan kumpulan pro-Anwar Otai Reformasi, yang menggesa Dr Mahathir untuk memberikan garis masa penyerahan jawatan perdana menteri kepada presiden PKR itu seperti yang dipersetujui pemimpin PH sebelum ini.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata bahawa peralihan kuasa akan berlaku tetapi tidak memberi masa untuk bila ia akan berlaku.

Beliau juga mengulangi janji bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri apabila Anwar menjadi perdana menteri.

Mahathir sebelum ini berulang-kali menyatakan persetujuan untuk menyerahkan tampuk pemerintahan negara kepada Anwar.

Walau bagaimanapun, tidak ada garis masa yang jelas untuk peralihan setakat ini, walaupun janji awal telah dipersetujui bahawa peralihan ini akan berlaku dalam masa dua tahun.