Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis yakin Haziq tak berisiko lari ke luar negara

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bimbang terhadap kemungkinan Haziq Abdullah Abdul Aziz - yang mengaku mengadakan hubungan intin lelaki didakwanya menteri PH - meninggalkan negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor berkata ketua Pemuda PKR Santubong itu sudah memberikan kerjasama kepada polis.

Katanya polis juga sudah mendapat persetujuan dengan Haziq sebelum ini.

"Kita dah ada persetujuan dengan dia, dan dia pun beri kerjasama," katanya kepada media di Bukit Aman hari ini.

Terdahulu Mazlan ditanya mengenai kemungkinan setiausaha sulit timbalan menteri yang sedang digantung tugas itu akan melarikan diri selepas memberi keterangan kepada polis baru-baru ini.

Haziq, 27, sebelum itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dipercayai ketika bersedia berlepas ke Manila, Filipina. Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu. Namanya juga tidak disenaraihitamkan daripada melakukan perjalanan ke luar negara.

Dia sebelum itu mengejutkan ramai orang apabila mendakwa berasmara dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali di sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah, pada 11 Mei lalu.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR menafikan sekeras-kerasnya terbabit dalam hubungan sejenis berkenaan.

Kata Mazlan, polis juga masih meneruskan siasatan berhubung kes berkenaan dan akan menyerahkan tindakan lanjut kepada Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan.

Polis, katanya, juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Mazlan juga berkata setakat ini polis menerima 17 aduan mengenai isu berkenaan dan sebanyak 21 keterangan sudah diambil bagi melengkapkan siasatan.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

"Kami tidak mahu kes ini dibicarakan melalui media. Biarkan kami jalankan siasatan terlebih dulu," katanya.

Ditanya sama ada PDRM akan mendapatkan kepakaran dari negara luar bagi menentukan ketulenan klip vide berkenaan, Mazlan berkata, belum ada keperluan untuk itu setakat ini.

Mengenai kemungkinan polis akan memanggil Azmin untuk memberi keterangan, Manlan cuma berkata, siasatan masih berjalan.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis serah tugas di antara pemangku pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Saiful Azly Kamaruddin dengan bekas ketua polis Pahang, Mohd Zakaria Ahmad.

[Baca berita penuh]