Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis akan panggil Azmin, Hilman berhubung video lucah

Kemaskini | Polis akan mengambil keterangan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan setiausaha politiknya Hilman Idham berhubung skandal video seks yang didakwa membabitkan menteri berkenaan.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata polis akan melakukan siasatan menyeluruh terhadap semua pihak yang didakwa terlibat dalam kes itu.

"Tindakan itu seperti yang saya katakan tadi, kita ambil pendekatan yang menyeluruh. Semua pihak akan dipanggil bagi diambil keterangan mereka,” ujar beliau seperti dilapor Astro Awani.

Azmin sebelum ini memberitahu pemberita di Ampang bahawa polis masih belum menghubunginya berhubung kes itu.

Sementara itu, Hilman memberitahu Malaysiakini bahawa beliau akan membuat laporan polis pada Isnin depan.

“Ya. Saya akan beri keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada jam 10 pagi Isnin ini berhubung laporan balas saya terhadap laporan Haziq Aziz,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selasa lalu, tiga video memaparkan seorang lelaki didakwa Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai Azmin Ali mula tersebar di media sosial secara sistematik.

Ia disusuli dengan pengakuan Haziq bahawa dia memang terlibat dalam aksi atas ranjang sejenis tersebut.

Azmin bagaimanapun menafikan penglibatannya dan menyifatkan tuduhan itu sebagai usaha memusnahkan karier politiknya.

Khamis lalu Haziq membuat laporan polis dengan niat untuk menyangkal tuduhan yang dilemparkan terhadapnya yang dibuat oleh "netizens, cybertroopers, Hilman serta yang lain-lain." 

Haziq juga mendakwa dia membuat laporan polis ekoran bimbang terhadap keselamatannya.

Semalam polis menahan Haziq di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kira-kira jam 5.30 petang. Berdasarkan tiket penerbangan yang ada padanya, Haziq dipercayai mahu berlepas ke Manila, Filipina.

Haziq kini disiasat empat kesalahan termasuk mengadakan hubungan seksual sejenis.

Azmin ketika ditemui pemberita pagi tadi berkata polis belum memanggilnya untuk merakam kenyataan beliau.

“Tak (polis belum panggil saya). Biar mereka (polis) buat kerja mereka dan jangan ganggu,” katanya yang menambah, akan membantu siasatan tersebut.

Semalam Timbalan Menteri Perusahaan Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin menghabiskan masa hampir lima jam memberi keterangan kepada polis mengenai siasatan kes video lucah itu. 

Haziq ialah setiausaha sulit kanan Shamsul Iskandar sebelum video seks diedarkan.

Pemuda berusia 27 tahun itu kini digantung tugas dan diminta diberikan surat tunjuk sebab berkaitan kes tersebut.