Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PM mula lawatan kerja 3 hari di UK

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang diiringinya isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di London pada Jumaat untuk lawatan kerja tiga hari ke United Kingdom.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa pegawai tiba lebih awal pada Jumaat untuk mengiringi Dr Mahathir dalam lawatan kerja itu.

Menurut pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, atur cara pertama lawatan Mahathir ialah mengadakan pertemuan dengan wakil Majlis Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Eire (UKEC) pada pagi Sabtu (waktu tempatan).

Pada petang, perdana menteri akan melawat Galeri Dunia Islam Yayasan Al Bukhary yang baru di Muzium British di Bloomsbury, juga di London.

Galeri itu yang ditubuhkan dengan sokongan Yayasan Al Bukhary dari Malaysia kini sedang membantu Muzium British mengatur semula pameran koleksi-koleksi penting warisan Islam, dan mencerminkan hubungan antara kebudayaan Islam dengan Dunia Purba di satu pihak, dan Kebudayaan Dunia Mediterranean dan Eropah di pihak yang lain.

Pada Ahad, selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Templewood Gardens di Camden, Mahathir akan ke Universiti Cambridge kira-kira 100 kilometer dari situ untuk menyampaikan syarahan bertajuk “Demokrasi di Malaysia dan Asia Tenggara” di Cambridge Union.

Pada Januari lalu, Mahathir telah menyampaikan syarahan yang menarik perhatian di Oxford Union, persatuan debat yang anggotanya kebanyakannya adalah dari Universiti Oxford, universiti tertua di dunia yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan, yang ditubuhkan pada 1096.

Syarahan di Cambridge itu dijangka menarik personaliti dan ahli akademik terkemuka di UK selain para penuntut institusi pengajian tinggi, kata para pegawai Suruhanjaya Tinggi.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Malaysia untuk menarik pelaburan asing, pada Isnin Mahathir akan menghadiri sesi pertemuan dengan para pelabur dan pemain industri di UK yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Maybank bagi meneroka bidang-bidang yang boleh mengadakan kerjasama bagi memperkukuh perdagangan dua hala.

Sejak 10 tahun lepas, perdagangan di antara Malaysia dan UK mencatat kadar pertumbuhan dua peratus setahun dengan jumlah dagangan dua hala tahunan bernilai dari RM12 bilion hingga RM17 bilion.

Menurut pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia, jika masa mengizinkan, Mahathir mungkin akan melawat bayi perempuan Ainul Mardhiah yang berjaya menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di sini untuk membuang ketumbuhan '’extragonadal germ cell tumour'’ di mulutnya, iaitu sejenis penyakit kanser yang jarang-jarang berlaku, sebelum beliau mengakhiri lawatannya.

- Bernama