Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Isu Zakir Naik, NGO lancar petisyen 'sejuta tandatangan' sokong Dr M

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan sejumlah NGO lain melancarkan petisyen sejuta tandatangan untuk menunjukkan sokongan kepada kerajaan berhubung isu ekstradisi Zakir Naik.

Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kempen itu agar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak akur kepada tekanan mana-mana pihak berkenaan perkara itu.

"Kerajaan setakat ini masih bertahan dan tidak tunduk kepada tekanan India dan desakan segelintir pihak di sini serta terus membenarkan Zakir berada di Malaysia selagi beliau tidak menyalahi undang-undang negara ini.

"Namun suasana dan iklim politik mutakhir ini agak sukar dan membimbangkan. Justeru kita mesti segera bertindak untuk menyatakan pendirian kita dan sokongan kepada langkah kerajaan...," katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Mohd Azmi menggesa umat Islam bersama-sama mempertahan hak kerajaan untuk tidak mengekstradisi Zakir.

Katanya, Zakir ialah seorang intelektual Islam yan diperakui antarabangsa dan syarahannya tidak menghina atau menghasut mana-mana agama seperti didakwa.

Beliau juga berkata Zakir mungkin tidak akan mendapat keadilan di India dalam perbicaraan berkaitan pengubahan wang haram terhadapnya.

Walaupun Zakir telah menyerahkan dokumen aliran kewangan kepada pihak berwajib negar itu, katanya, India masih mahu pendakwah kontroversi itu diekstradisi.

"Semua dokumen aliran kewangan dan tanggungjawab membayar cukai sudah diserahkan kepada pihak berwajib India.

"kami yakin ramai berpandangan bahawa Dr Zakir bukan lagi mahu diadili di mahkamah India kerana sudah pasti tidak akan mendapat perbicaraan adil apatah lagi ketika beliau diberi persepsi buruk oleh kerajaan dan media di sana," katanya lagi seperti dipetik.

Isnin lalu, Mahathir berkata Malaysia ada hak untuk menentukan sama ada pendakwah warga India itu akan mendapat perbicaraan adil di sana jika dihantar pulang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan berkenaan usaha Direktorat Penguatkuasaan India (ED) untuk mendapatkan waran tangkap terhadap Zakir dan individu lain dalam perbicaraan yang sedan didengar di mahkamah Mumbai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002.

Menurut laporan itu, mahkamah Mumbai akan memutuskan sama ada waran tangkap tanpa jaminan perlu dikeluarkan terhadap Zakir untuk pendengaran akan datang, yang dijadual pada 19 Jun ini.

Selain itu, ED juga akan memohon notis merah Interpol terhadap pendakwah warga India itu.

Zakir sebelum ini mendakwa dakwaan terhadapnya adalah palsu dan kini berstatus penduduk tetap Malaysia.