Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Inkues Adib antara 10 sebab AG perlu undur - Pemuda Umno

Pemuda Umno menamakan 10 sebab mengapa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad perlu menamatkan khidmat Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata jika benar kerajaan Pakatan Harapan memelihara kedaulatan undang-undang, Thomas perlu meletakkan jawatan.

"Maka berdasarkan sepuluh sebab, Pergerakan Pemuda Umno Malaysia menegaskan bahawa Tommy Thomas tidak lagi layak untuk terus memegang jawatan selaku peguam negara, "kata Asyraf seperti dipetik Umno Online.

Mendahului senarai 10 sebab itu adalah dakwaan peguam Syazlin Mansor mengenai campur tangan peguam negara dalam prosiding inkues kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Syazlin, yang mewakili keluarga Adib, mendakwa campur tangan itu bermula selepas dia membawa saksi pakar memberi keterangan bahawa Adib mungkin diserang semasa rusuhan kuil Seafield, November tahun lalu.

Keterangan itu bercanggah dengan teori dua pakar forensik yang mengatakan kematian Adib mungkin akibat dilanggar oleh kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika ia berundur.

Syazlin sebelum ini yang turut mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba terpaksa menarik diri daripada inkues itu berikutan arahan Thomas.

Peguam Negara kemudian berkata keputusan itu dilakukan kerana bimbang berlaku konflik kepentingan memandangkan Syazlin juga mewakili keluarga allaharyam.

Thomas juga berkata pendirian diambil Syazlin juga sering bercanggah dengan Timbalan Pendakwa Raya.

Sementara itu, Asyraf juga menyebut mengenai afidavit yang difailkan Pejabat Peguam Negara yang menjelaskan kematian Adib bukan kerana dipukul oleh mana-mana pihak sedangkan prosiding inkues masih belum selesai.

"Jelas menunjukkan betapa lemah dan kurang arifnya Tommy Thomas mengenai perjalanan inkues dan diragui kredibiliti beliau untuk menjalankan tanggungjawab secara bebas," kata Asyraf.

Sembilan sebab lain yang dinyatakan oleh Pemuda Umno ialah:

2. Wujudnya pendakwaan terpilih dan pengguguran pendakwaan misalnya pengguguran sepenuhnya kes rasuah Lim Guan Eng walaupun prosiding mahkamah telahpun berjalan.

3. Gagal memberikan nasihat undang-undang secara adil dan tuntas kepada Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja mengenai kesan dan impak Statut Rom dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

4. Tidak menghormati keputusan Majlis Raja-Raja dan kerajaan Malaysia berkenaan Statut Rom dengan melibatkan diri dalam wacana awam yang secara terbuka mengkritik keputusan kabinet dan memperlekehkan Raja-Raja Melayu.

5. Kegagalan menasihati perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong berhubung keperluan menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat sama ada wujud salah laku oleh enam ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

6. Melantik peguam luar, Sitpah Selvaratnam bagi mengendalikan kes kapal mewah Equanimity dengan bayaran upah yuran guaman yang amat tinggi iaitu sebanyak RM2 juta sedangkan penghakiman di dalam kes tersebut hanyalah penghakiman ingkar (default judgement) dan tidak melibatkan sebarang proses perbicaraan.

7. Menggugurkan sepenuhnya beberapa kes berprofil tinggi yang melibatkan hubungan diplomatik, antaranya kes kematian pembantu rumah Indonesia Adelina Jerima Sau dan suspek warganegara Vietnam dan Indonesia dalam kes kematian Kim Jong Nam.

8.Membatalkan arahan untuk mendakwa peguam Siti Kassim yang didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada seorang penonton di forum Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355).

9. Tularnya satu audio rakaman perbualan peguam Siti Kassim yang mendakwa telah bercakap dengan Tommy Thomas berkenaan kes saman kerajaan pusat terhadap kerajaan Kelantan berkaitan isu Orang Asli di Gua Musang yang difailkan setelah pengumuman tarikh pilihan raya kecil Cameron Highland.

10. Thomas selaku pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia  mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai setaraf dengan STPM dan A-Levels untuk digunakan dalam kelayakan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) yang disifatkan ramai pihak sebagai mencabar status quo kedaulatan Perlembagaan Persekutuan. Keputusan itu dibuat ‘secara unilateral’ tanpa menunggu perbincangan kementerian pendidikan dan merujuk kepada kabinet.