Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Hari ke-25: Usah bimbang, isteri tak tanya, kata Ismee

LANGSUNG | Kenyataan didakwa bercanggah daripada bekas pengerusi SRC International Sdn Bhd (SRC) Ismee Ismail mengenai peranan anggota lembaga pengarah syarikat itu dijangka terus menjadi fokus perbicaraan pada hari ini.

Memasuki hari yang ke-25 pasukan pembelaan Najib Razak akan menyatakan kepada mahkamah apakah langkah seterus mereka selepas ini.

Ismee ialah saksi ke-39 yang mula memberi keterangan kepada pihak pendakwaan dan pembelaan sejak Isnin lalu.

Perbicaraan berprofil tinggi itu dijalankan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

LANGSUNG

12.30 tengah hari: Hakim menangguhkan perbicaraan untuk hari ini dan akan bersambung pada jam 9 pagi Isnin.


12.27 tengah hari: Suasana yang lebih santai tercetus sekali lagi dalam perbicaraan kes Najib, hari ini.

Kali ini ia juga melibatkan kenyataan spontan saksi ke-39 pendakwaan, Ismee Ismail.

Sebelum itu hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberi peringatan kepada Ismee agar tidak berbincang apa-apa mengenai kenyataannya di mahkamah dengan sesiapa.

Mendengarkan nasihat itu, Ismee - yang masih memberi keterangan sejak 10 Jun lalu - secara bersahaja menjawab: "Jangan bimbang, isteri saya tak tanya."

Kenyataan itu menyebabkan ruang mahkamah dipenuhi ketawa orang ramai.

Untuk rekod Mohd Nazlan pernah memberi nasihat sama kepada Ismee kelmarin selepas pasukan pembelaan membuat permohonan agar Ismee tidak berbincang dengan sesiapa kerana mereka belum habis menyoal balasnya.

"Ia termasuk isteri kamu," kata Mohd Nazlan pada Rabu.


12.20 tengah hari: Saksi pendakwaan Ismee Ismail dan peguam bela Najib, Harvinderjit Singh, berbalah lagi mengenai pemindahan pemilikan SRC daripada 1MDB kepada Kementerian Kewangan )(MOF Inc) pada 2012.

Ia berlaku apabila Harvinderjit mencadangkan kepada pengerusi Lembaga Pengarah (BOD) SRC itu bahawa keputusan tersebut dibuat oleh syarikat terbbait sendiri dan bukannya atas arahan MOF Inc.

Najib ialah menteri kewangan ketika itu.

Kata Harvinderjit dalam mesyuarat BOD syarikat terbabit pada Feb 2012 Pengarah Urusan SRC Nik Faisal Ariff Kamil sepatutnya memberitahu pihak terbabit mengenai arahan pemindahan milik berkenaan.

Katanya arahan tersebut datang daripada MOF Inc melalui menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Mohamed Nor Yakcop.

Bagaimanapun Ismee tidak sependapat dengan Harvinderjit dan memberitahu mahkamah bahawa ia adalah andaian peguam Najib semata-mata. 


11.42 pagi: Bekas pengerusi SRC, Ismee Ismail, mengakui beliau tidak pasti sama ada dana yang didepositkan di sebuah bank di Switzerland di antara 2011 dan 2013 benar-benar wang pinjaman dari KWAP.

Menjawab soalan peguam bela, Ismee berkata beliau dan anggota lain dalam Lembagha Pengarah SRC melawat negara berkenaan pada 2013 bagi memastikan wang yang dipinjam syarikat itu masih ada di sana.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Harvinderjit Singh bahawa tiada kepastian mana-mana bahagian wang pinjaman tersebut berakhir di mana-mana bank seperti Falcon Bank atau Julius Baer Bank di Hong Kong.


11.05 pagi: Bekas pengerusi SRC Ismee Ismail mengakui Najib Razak tidak pernah menjadi penandatangan untuk akaun-akaun syarikat berkenaan.

Beliau berkata demikian semasa dicadangkan oleh peguam bekas perdana menteri itu, Harvinderjit Singh, kemungkinan pembabitan secara langsung bekas perdana menteri itu dalam pelaburan SRC - masing-masing sebanyak RM1.8 bilion dan RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) - di luar negara.

Terdahulu Harvinderjit merujuk kepada dokumen yang dimaklumkan pengarah SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, mengenai permohonan syarikat itu kepada Bank Negara membawa keluar dana sebanyak RM1.8 bilion.

Harvinderjit: Perdana menteri tak boleh begitu saja menandatangani arahan untuk wang itu dikeluarkan secara automatik dari syarikat?

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Sebagai penasihat emeritus (kepada SRC), perdana menteri tidak pernagh menjadi penandatangan mana-mana akaun SRC?

Ismee: Ya.


11 pagi: Tindakan Harvinderjit Singh bertegas mahu saksi, Ismee Ismail, mengemukakan dokumen tertentu menyebabkan timbalan pendakwa raya bangkit untuk membantah.

Dokumen-dokumen itu berkaitan pertimbangan pasukan pembelaan sama ada untuk menyemak semula status Ismee sebagai saksi.

Sepanjang prosiding minggu ini pasukan pembelaan mengasak Ismee untuk membekalkan d0kumen bagi membuktikan dakwaan saksi itu berkaitan pengaruh Najib terhadap lembaga pengarah SRC.

Memberitahu hakim Mohd Nazlan, V Sithambaram berkata pihak pendakwaan sudah menyerahkan banyak dokumen kepada peguam bela Najib sebelum ini.

Sithambaram: Semalam semasa kita menangguhkan perbicaraan untuk mengkaji semula bukti, kami dapati ada dokumen yang diminta rakan saya (Harvinderjit) kepada saksi (Ismee) banyak kali.

Kami sebenarnya sudah menghantar dokumen yang mereka minta dan ia dilakukan lama dulu.

Isunya ialah, sama ada wujud resolusi pemegang saham mutlak.

Saya bangkitkan supaya rakan saya (Harvinderjit) boleh bertanya semasa sesi soal balas. Saya tak mahu mereka selepas ini mendakwa kami membuat kejutan.

Harvinderjit: Saya bertanya, mengapa kamu tunjukkan dokumen ini? Soal balas saya sudah nak habis dan wajar untuk saya bangkitkan selepas ia tamat.

Bacaan kami mengenai bukti (Ismee) mencadangkan ada resolusi lain tetapi tak ada yang ditunjukkan kepada beliau. Saya akan menyentuhnya pada masa sesuai.

Sithambaram: Saya tidak cuba untuk menimbulkan prejudis kepada pembelaan. Saya cuma cuba tunjukkan dokumen berkenaan. Saya mahu pastikan tak ada kelewatan (dalam prosiding).


9.30 pagi: Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, mencelah ketika Ismee disoal balas Harvinderjit Singh.

Kata Sithambaram, peguam bela Najib itu terlalu pantas mengemukakan soalan-soalannya dan patut membenarkan Ismee memahaminya dengan betul sebelum memberikan keterangan.

Sebelum itu Ismee kelihatan terganggu dengan deretan soalan dikemukakan Harvinderjit mengenai proses membuat keputusan oleh Lembaga Pengarah SRC pada 2011.

Pada satu ketika Ismee meminta Harvinderjit mengulangi soalan dan menyusun semula ayatnya untuk membolehkan ia difahami.


9.15 pagi: Peguam bela Najib, Harvinderjit Singh, memberitahu mahkamah pihaknya akan memaklumkan keputusan mengenai langkah lanjut mereka menganai keputusan penelitian keterangan Ismee kemudian.

"Kami sudah melihatke pada transkrip sejak empat hari lalu. Kami akan menanganinya pada masa yangs sesuai," katanya.


9.10 pagi: Perbicaraan akan bermula pada bila-bila masa sekarang.

Tertuduh, Najib Razak, memasuki kandang tempat beliau perlu berada sepanjang perbicaraan berlangsung.

Di depan hakim, barisan peguam bela beliau serta pasukan pendakwaan juga mengambil tempat.

Saksi ke-39, Ismee Ismail pula memasuki tempat memberi keterangan.

Semalam ketua pasukan pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah, membuat permohonan mengejut agar perbicaraan ditangguhkan sehingga pagi ini bagi membolehkan mereka meneliti keterangan Ismee bagi menyemak - jika ada - percanggahan kenyataan diberikannya.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

 

Menurut peguam bekas perdana menteri itu, mereka berasakan keterangan lisan Ismee tidak sama dengan apa yang diberikannya dalam kenyataan bertulis sebelum ini.

Mohd Nazlan membenarkan permohonan tersebut.

Dalam keterangannya Ismee berkata Lembaga Pengarah (BOD) SRC bertindak berdasarkan kepada keputusan pemegang saham syarikat tersebut.

Kenyataannya secara bertulis juga - yang dibacakan di mahkamah pada Isnin - BOD membuat pertimbangan serius dan membuat keputusan berdasarkan kepada nasihat Najib.

Ismee menambah, Najib adalah pemegang saham tunggal yang mengawal SRC.

Anggota parlimen Pekan itu juga menjadi penasihat emeritus SRC.

Ekoran itu seorang lagi peguam Najib, Harvinderjit, memohon supaya perbicaraan berehat, dan ia dibenarkan hakim.

Tidak lama kemudian pasukan pembelaan dan pendakwaan dilihat memasuki kamar hakim.

Sejurus kemudian - apabila perbicaraan disambung - Shafee memohon kepada Mohd Nazlan agar ia ditangguhkan sehingga pagi ini.

SRC ialah anak syarikat 1MDB semasa ia ditubuhkan pada Jan 2011. Bagaimanapun ia kemudian dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) pada awal 2012.

Syarikat itu juga mendapat pinjaman berjumlah RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dengan RM2 bilion pertama diterima pada Ogos 2011 dan bakinya pada Mac tahun berikutnya.