Rakyat sedang menilai PH, kata Johari
Susulan daripada pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) anggota parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, berkata setiap keputusan kerajaan sedang dinilai rakyat.
Johari yang juga pengerusi PKR Kedah itu berkata, PH akan berdepan masalah jika sesuatu perkara atau tindakan diambil kerajaan tidak disenangi rakyat.
Katanya PH wajar berpegang teguh kepada janji yang diikrarkan dalam manifesto sebelum mereka berjaya mengetepikan BN dalam pilihan raya umum tahun lalu.
“Rakyat membuat penilaian sama ada kita (PH) berpegang teguh atau tidak dengan janji kita.
“Jika kita tidak berpegang teguh, kita akan menghadapi masalah dengan rakyat,” katanya sepert dilaporkan BH Online.
Pada Selasa lalu Latheefa dilantik sebagai ketua pesuruhjaya baru SPRM dan ia dianggap bercanggah dengan janji PH untuk melantik bukan orang politik mengetuai agensi kerajaan.
Susulan pelantikan itu, timbul gesaan agar peguam terbabit meletakkan jawatan kerana pendirian politiknya dipercayai akan menjejaskan kebebasan dalam melaksanakan tugas.
Ada juga pihak yang mengakui kelayakan Latheefa tetapi mengkritik cara pelantikan tersebut yang bertentangan dengan Janji 14 manifesto PH - bahawa pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM perlu "disahkan secara demokratik oleh parlimen."
Pada masa sama pelantikan dan reaksi yang ditunjukkan daripada perkembangan itu dikaitkan dengan persaingan kuasa dalaman PKR.
Umum menganggap Latheefa cenderung menyokong Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, dan ia sekali gus tidak menyenangkan kem yang diketuai naib presiden parti itu, Rafizi Ramli.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai