Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

‘Pertukaran kereta memang dilakukan setiap lima tahun’

Pembelian 16 kereta Toyota Camry oleh kerajaan negeri Perak dengan harga keseluruhan kira-kira RM1.74 juta dibuat berdasarkan jangkaan kos penyelenggaraan yang lebih rendah selain memberi keselamatan lebih baik kepada Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco).

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Asmuni Awi berkata kenderaan yang digunakan oleh Exco sebelum ini sering mengalami kerosakan yang memerlukan kos penyelenggaraan tinggi.

"Ia bukan isunya kerana pertukaran kereta memang dilakukan setiap lima tahun sejajar dengan dasar kerajaan negeri sedia ada dan kereta yang digunakan Exco sudah melebihi lima tahun malah ada yang enjin kenderaan dinaiki secara tiba-tiba mati di tengah jalan dan lebih teruk ada yang wayar terbakar.

"Exco berhadapan tugas-tugas besar dan perlu sentiasa tiba di lokasi atau menghadiri program-program dengan cepat tetapi terpaksa menghadapi halangan apabila terjadi masalah kereta rosak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Mahasiswa Perak anjuran Yayasan Perak dengan kerjasama Sekretariat Mahasiswa Perak di Ipoh hari ini.

Asmuni yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Manjoi berkata kereta lama iaitu Proton Perdana untuk Exco yang dibeli kerajaan negeri sebelum ini di bawah pentadbiran Barisan Nasional pada 2014 tidak lagi di bawah jaminan dan sering dihantar untuk dibaiki dengan kos penyelenggaraan mahal.

"Bukan cerewet tetapi sistem sangat teruk sehingga kami menghadapi situasi tidak selesa. Kereta yang dibeli ini lebih rendah harganya berbanding kereta jenis Mercedes Benz yang dibeli oleh kerajaan yang diterajui oleh pembangkang," katanya.

Malaysiakini semalam melaporkan kerajaan negeri telah membelanjakan RM109,000 bagi setiap model Toyota Camry iaitu kira-kira RM90,000 lebih murah daripada harga runcit biasa.

Difahamkan, kerajaan telah membeli kenderaan itu secara langsung daripada Toyota dan perolehan berkenaan mendapat pengecualian cukai dan diskaun.

Terdahulu, seramai 10 mahasiswa terbaik daripada 500 mahasiswa terdiri daripada anak-anak negeri Perak yang hadir pada majlis itu menerima wang sumbangan yang disampaikan Asmuni.