Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ops mencari kanak-kanak dikhuatiri lemas di Kuala Ibai diteruskan

Usaha mencari seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di taman rekreasi Lagoon Kuala Ibai, berdekatan Masjid Terapung di Kuala Terengganu hari ini masih diteruskan.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Timbalan Penguasa Bomba Zakariya Mohamed berkata dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi itu, Muhammad Aidil Muhammad Ghazali, 9, yang berada di tepi pasir terjerumus ke dalam air.

“Maklumat awal daripada orang awam mendapati mangsa terkapai-kapai dalam air sebelum tenggelam.

“Abang mangsa (Muhammad Aiman Muhammad Ghazali) yang berusia 14 tahun cuba menyelamatkan adiknya tetapi gagal,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di Kuala Terengganu.

Sejurus menerima panggilan pada pukul 10.23 pagi, dua jentera bersama sembilan anggota dari Balai Bomba Kuala Terengganu tiba di lokasi kejadian, selain turut dibantu dua anggota dari balai Jalan Kota bersama sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Pihak bomba menggunakan kaedah pencarian di permukaan air menggunakan sebuah bot dengan tiga anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman di kawasan mangsa dikatakan terjatuh.

Mangsa datang ke situ bersama keluarga yang pulang dari Johor Bahru, Johor ke kampung ibunya, di Kampung Tanjung di sini sempena hari raya.

Sementara itu ibu mangsa, Noraini Yahya berkata anak keempatnya daripada enam beradik itu begitu teruja untuk datang ke tempat rekreasi itu sejak semalam.

Ketika bangun pagi tadi anaknya itu sudah bersiap dan menunggu ayahnya Mohd Razali Ibrahim, 38, bangun daripada tidur.

“Semalam lagi dia cakap hendak main di sini, lain macam seronok dia. Dia cakap hendak mandi pantai,” katanya sambil menitiskan air mata.

- Bernama