Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mengapa saman, tanya Salleh pada kerajaan

Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) Mohamad Salleh Ismail mempersoalkan keputusan kerajaan memfailkan saman terhadap beliau dan keluarga nya untuk mendapatkan semula pinjaman RM253 juta, meskipun mereka sudah bersetuju untuk membayarnya semula.

"Saya mempersoalkan tindakan peguam negara terhadap saya dan keluarga sedangkan masalah pembayaran penuh pinjaman kepada kerajaan sudah dimaklumkan tujuh bulan yang lalu, iaitu sejak Nov 2018.

"NFC sudah memulakan proses pemulihan pembangunan dan penyusunan semula syarikat dan beberapa perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diadakan.

"Pada asasnya, usaha itu diterima dengan baik, seperti yang diumumkan oleh menterinya Salahuddin Ayub," kata Salleh dalam satu kenyataan hari ini.

Salleh berkata demikian mengulas laporan yang mendakwa kerajaan memfailkan saman terhadap dirinya dan keluarga beliau, hari ini.

Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan saman itu minggu lepas dengan menamakan NFC, Mohamad Salleh - yang juga suami Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil, tiga anak mereka, dan enam syarikat berkaitan keluarga itu sebagai responden.

Mengulas lanjut, Mohamad Salleh berkata pihaknya juga menghantar surat tawaran terbaru untuk pembayaran penuh kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 17 Mei, tetapi masih belum menerima jawapan balas.

Didedah dalam laporan audit

Menurutnya beliau juga akan memberikan kerjasama penuh dalam perkara tersebut dengan mengikut proses undang-undang.

"Saya juga ingin menyatakan bahawa saya, seperti juga semua rakyat Malaysia, berharap isu ini diselesaikan dengan (amaun) pinjaman tertunggak yang terhutang kepada kerajaan dibayar sepenuhnya melalui penebusan penuh dalam masa terdekat.

"Selain itu, ia juga sekali gus akan membantu mengurangkan beban kewangan negara, seperti yang dinyatakan oleh pihak berkuasa,' katanya.

Beliau juga berharap bahawa dengan penyelesaian masalah pinjaman, aspirasi projek dan potensi syarikat dapat direalisasikan sepenuhnya.

Bulan lalu, Lim berkata kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang bagi memaksa NFC dan keluarga Shahrizat membayar balik pinjaman itu.

Penglibatan anggota keluarga Shahrizat itu didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara pada 2011.

Mohamad Salleh berdepan dua tuduhan pecah amanah jenayah melibatkan RM49.7 juta sebelum dibebaskan pada 2015.

[Baca berita penuh]