Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Inkues Adib: Ada potensi konflik kepentingan - Badan Peguam

Presiden Badan Peguam Malaysia, Abdul Fareed Abdul Gafoor bersetuju dengan pendirian Peguam Negara Tommy Thomas bahawa terdapat potensi untuk berlakunya konflik kepentingan apabila peguam Syazlin Mansor memutuskan untuk mewakili keluarga anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan kerajaan pada masa yang sama .

Walau bagaimanapun, Abdul Fareed berkata hal itu dikesali kerana tiada bantahan dibangkitkan lebih awal dan arahan untuk Syazlin menarik diri daripada mewakili kerajaan yang dibuat pada akhir inkues kematian Adib telah menimbulkan persepsi negatif.

"Memang tidak boleh dipertikaikan bahawa peguam bela dan peguam cara memegang kewajiban fidusiari dan/ atau kontrak terhadap anak guam mereka.

"Oleh itu, menjadi kewajipan bagi setiap peguam bela dan peguam cara untuk mengawasi dan mengelakkan, situasi konflik kepentingan - baik yang sebenar dan berpotensi - terutama dalam mewakili pelbagai pihak.

Jika keluarga Adib saman kerajaan

"Kepentingan yang seolah-olah umum dari pelbagai pihak yang diwakili oleh satu peguam bela dan peguam cara tunggal sahaja akan berpotensi menghasilkan kepentingan yang berbeza atau bersaing serta dengan itu menjejaskan kemampuan peguam bela dan peguam cara untuk bertindak demi kepentingan terbaik pihak-pihak yang bersangkutan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fareed memberi contoh bagaimana konflik kepentingan boleh menimbulkan masalah adalah jika keluarga Muhammad Adib memutuskan untuk menyaman kerajaan selepas inkuesnya, kedua-duanya telah diwakili Syazlin.

"Keterangan yang telah dikemukakan dan diketuai oleh Syazlin Mansor semasa inkues - iaitu apabila beliau secara serentak mewakili kerajaan dan keluarga - kemudiannya boleh digunakan semasa prosiding undang-undang yang berikutnya, sehingga menyebabkan kes konflik yang jelas, kerana pihak-pihak ini mungkin akan mempunyai kepentingan yang saling berlawanan," katanya.

Abdul Fareed berkata Akta Profesion Undang-Undang 1976, Peraturan Profesion (Amalan & Etika) Perundangan 1976, dan Peraturan dan Ketetapan Majlis Peguam Malaysia dengan jelas melarang peguam bela dan peguam cara bertindak dalam keadaan konflik.

"Mengambil kira (perkara-perkara) ini, Badan Peguam Malaysia berpendapat bahawa Syazlin Mansor seharusnya menolak untuk bertindak secara serentak untuk (mewakili) Kementerian Perumahan, Jabatan Bomba dan keluarga Muhammad Adib.

"Walaupun inkues bukan perbicaraan dan hanya bersifat penyiasatan (inquisitorial), maklum balas orang ramai yang kuat terhadap ini merupakan gambaran bahawa dari sudut mata awam, terdapat tanggapan wujudnya konflik kepentingan," katanya.

Abdul Fareed mencatatkan bahawa persepsi negatif ini timbul kerana pegawai koroner dan pegawai inkuiri tidak menimbulkan bantahan lebih awal.

Peguam Syazlin Mansor

"Adalah sangat disesali bahawa tiada bantahan telah dibangkitkan pada tahap awal prosiding inkues, sama ada oleh koroner atau pegawai pengendali, apabila Syazlin Mansor telah direkodkan untuk pihak-pihak berkenaan (yang diwakilinya).

"Petunjuk untuk menarik diri sebagai peguam pada tahap yang lebih lanjut dalam inkues itu mungkin menyumbang kepada tanggapan negatif oleh orang ramai mengenai kejadian itu," jelasnya lagi.

Walaupun terdapat kontroversi mengenai penarikan diri Syazlin sebagai peguam yang mewakili keluarga Adib dan kerajaan, Abdul Fareed berkata seorang peguam bela dan peguam cara mesti berhenti apabila kedudukannya tidak dapat dipertahankan pada sebarang peringkat kerana konflik kepentingan.

"Oleh itu, tindakan Peguam Negara membatalkan Syazlin Mansor daripada mewakili kementerian perumahan dan Jabatan Bomba merupakan satu langkah untuk menyelesaikan konflik kepentingan dan memelihara integriti inkues yang sedang berlangsung.

"Sebagai ketua penasihat undang-undang kepada pemerintah, peguam negara berhak mengambil pendirian ini, yang tidak boleh dianggap sebagai menyekat (muzzling) pandangan tertentu atau berlawanan mengenai keadaan yang menjadi punca kepada kematian Muhammad Adib.

"Perlu diperhatikan bahawa peguam negara tidak pernah menghalang Syazlin Mansor daripada terus mewakili keluarga Muhammad Adib dalam inkues itu, beliau (Syazlin) menarik diri daripada berbuat demikian dengan kerelaannya sendiri," katanya.

[Baca berita penuh]