Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Chin Tong teruja potensi teknologi Huawei dalam pertanian M'sia

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berkata beliau teruja melihat potensi teknologi ladang pintar Huawei dalam bidang pertanian di Malaysia

Beliau berkata demikian selepas mengunjungi pejabat Huawei di Kuala Lumpur dan diberi taklimat oleh ketua pegawai eksekutifnya di negara ini, Michael Yuan mengenai aplikasi teknologi 5G.

"Saya amat tertarik dengan teknologi ladang pintar daripada Huawei yang berpotensi meningkatkan produktiviti pertanian di Malaysia, khususnya negeri Johor yang mempunyai sektor pertanian yang besar.

"Ia akan mengubah corak industri pertanian dengan menggunakan kemajuan teknologi," katanya dalam suatu kenyataan.

Liew juga menegaskan sebarang pelaburan asing perlu memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

"Mana-mana pelabur asing di Malaysia perlu menyediakan peluang pekerjaan yang setimpal kepada rakyat tempatan.

"Malah, mereka perlu melabur dalam automasi dan membuat tanggungjawab sosial koporat yang memberi manfaat kepada pembangunan rakyat Malaysia," katanya lagi.

Liew yang juga pengerusi DAP Johor berkata kerajaan akan menilai pelaburan sebegini dengan cara yang telus bagi memastikan manfaat bersama selaras dengan pendirian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam perkara ini.