IGP yakin dapat bawa pulang Jho Low 'dalam masa terdekat'
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador membayangkan ahli perniagaan Low Taek Jho yang kini dalam pelarian, akan dapat dibawa pulang dalam masa terdekat.
"Saya tak mahu mendahului (membuat pengumuman). Tetapi insyaAllah.
“Bila saya kata begitu saya yakin kita akan berjaya membawanya balik, dalam masa terdekat pun boleh, terjauh pun boleh,” katanya sambil ketawa.
“Tapi insyaAllah dalam masa terdekat,” katanya lagi kepada pemberita semasa lawatan ke Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita tentang perkembangan terkini berkenaan Jho Low yang merupakan individu utama dalam skandal 1MDB.
Minggu lalu, Abdul Hamid berkata polis mempunyai "petunjuk baru" berkenaan lokasi Jho Low - yang gagal dikesan sejak 2015 - dan akan membawanya pulang "tidak lama lagi".
Hari ini, beberapa hartanah termasuk dua kediaman mewah yang dikaitkan dengannya dilaporkan akan dijual.
Ia susulan usul bersama pihak yang terlibat dalam saman sita hartanah berkenaan yang meminta mahkamah Amerika Syarikat menangguhkan prosiding bagi membolehkan penjualan interlokutori hartanah itu.
Hartanah yang terlibat termasuklah kediaman di Time Warner Penthouse bernilai AS$30.55 juta (RM128.2 juta) di New York yang dituntut oleh 80 Columbus Circle (NYC) LLC dan kondominium di New York bernilai AS$13.8 million (RM58 juta) yang dituntut oleh 118 Greene Street (NYC) LLC.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai