Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

‘Menunggang’ Ramadan yang mulia

ULASAN | Dalam buku Purification of the Heart nukilan Sheikh Hamza Yusuf, beliau menyatakan berpuasa di bulan Ramadan mengajar manusia untuk tidak berbangga-bangga dengan amal ibadat yang dilakukan.

Ini kerana mata kasar manusia tidak dapat membezakan antara mereka yang berpuasa dan tidak berpuasa (kecuali yang tak berpuasa itu makan di khalayak ramai).

Justeru puasa seseorang itu adalah antara beliau dan tuhan.

Tetapi ada juga yang ‘menunggang’ bulan Ramadan yang mulia ini untuk kepentingan masing-masing.

Bulan Ramadan sinonim dengan peringatan “syaitan diikat”, jadi tidak ada alasan untuk berbuat maksiat dan mengikut amalan syaitan di bulan ini.

Gambar hiasan

Malangnya bulan puasa juga menyaksikan pembaziran makanan yang maha dahsyat meskipun ia bersandarkan dengan niat untuk membantu.

Golongan gelandangan dikatakan semakin meningkat apabila menjelangnya bulan puasa. Sebenarnya, tidak semua yang berada di kawasan gelandangan itu adalah gelandangan yang sebenarnya.

Ada antara mereka yang mempunyai rumah tetapi disebabkan tak cukup makanan, dibawanya satu keluarga termasuk anak-anak kecil untuk mendapatkan makanan di kawasan-kawasan tersebut.

Apatah lagi, begitu ramai rakyat Malaysia yang berlumba-lumba berbuat kebaikan dengan memberi makanan kepada gelandangan sehingga satu kawasan gelandangan boleh menerima makanan daripada empat atau lima kumpulan pemberi yang berbeza.

Akhirnya, ada makanan yang tidak dijamah oleh mereka dan berakhir di tepi jalan.

Gelandangan di ibu kota, gambar hiasan

Bukanlah hendak melarang masyarakat menambah pahala di bulan Ramadan, tetapi berbuat kebaikan juga tidak menghalalkan pembaziran semacam ini sehingga memberi kesan buruk kepada golongan gelandangan itu sendiri dan alam sekitar.

Sudah sampai masanya pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan yang terlibat membuat penyelarasan dengan pihak yang mahu memberi makanan kepada gelandangan di bulan Ramadan pada tahun akan datang agar isu pembaziran ini dapat diatasi dan tidak merugikan mana-mana pihak.

Penyelarasan juga penting agar kumpulan yang memberi juga adalah kumpulan yang betul-betul memberi - bukannya sekadar datang ambil gambar, ambil video dan kemudian makanan itu dibiarkan begitu sahaja.

Publisiti murahan di masjid & surau

Selain kegilaan membuat poster untuk mengucapkan selamat berpuasa daripada pegawai-pegawai menteri dan ahli politik, ada juga satu trend di bulan puasa, yang sumbangan kepada masjid dan surau digendangkan dengan kuat.

Ia membuatkan orang terfikir apakah hanya bulan puasa sahaja masjid dan surau menerima sumbangan semacam ini.

Bagi sumbangan satu cerita, kaitkan sumbangan itu dengan parti politik orang yang memberi sumbangan itu satu cerita pula.

Mujur Sultan Nazrin Shah telah menitahkan agar “kegilaan” ini dihentikan.

Sultan Nazrin Shah

Nak bagi sumbangan, bagilah. Tapi tak perlu kaitkan dengan parti politik yang dianuti.

Apabila banyak sangat buat macam itu, nampaklah parti politik itu “trying so hard” untuk memenangi hati orang Melayu-Islam.

Mujur tak ada mana-mana kumpulan yang terfikir untuk buat demonstrasi sebab masjid dan surau digunakan untuk meraih publisiti murahan semacam ini.

Majlis berbuka puasa anak yatim

Golongan anak yatim juga merupakan kumpulan yang menjadi sasaran untuk diraikan di bulan puasa ini.

Mereka diundang untuk berbuka puasa bersama-sama penaja yang selalunya berstatus VIP atau orang kenamaan.

Tapi yang sering terjadi ialah kehadiran VIP itulah yang menjadi perhatian; anak-anak yatim menunggu berbaris untuk bersalam, VIP ambil mikrofon dan memberi ucapan, gambar-gambar yang diambil pula memfokuskan kepada VIP tersebut.

Akhirnya, majlis itu telah menjadi majlis “anak yatim meraikan VIP”. Kalau tak percaya, boleh tanya Sufian Suhaimi.

Dan pastinya isu yang tak lekang dek panas tak lapuk di hujan apabila berpuasa di negara Malaysia ini ialah adanya individu yang makan di tempat awam.

Sepatutnya isu ini tak perlu jadi isu pun sebab seperti yang ditulis di awal tulisan ini, berpuasa itu adalah antara manusia dan tuhan.

Kalau yang makan di tempat awam kerana mempunyai keuzuran tak perlulah memalukan mereka dengan ambil gambar dan tularkan di media sosial.

Sebagai orang yang berpuasa, lebih elok jika kita memfokuskan kepada amalan diri sendiri dan tak perlu sibuk mencari siapa yang tak puasa di bulan Ramadan ini.

Kerana di akhirnya, pahala puasa itu bukan ditentukan dengan berapa ramai orang yang tak berpuasa yang kita boleh cari dan aibkan di media sosial!


ZHARIF BADRUL ialah seorang graduan undang-undang yang telah didaftaraikan sebagai peguam cara dan peguam bela, aktivis politik, penulis novel dan berkicau ikut keperluan di Twitternya @zharifbadrul6. Beliau juga ingin mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri maaf zahir dan batin kepada semua pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.