Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Balu CEO Cradle Fund bayar ikat jamin RM500,000

Samirah Muzaffar, balu kepada ketua pegawai eksekutif Cradle Fund, Allahyarham Nazrin Hassan, hari ini membayar wang ikat jamin sebanyak RM500,000 sementara menunggu perbicaraannya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan membenarkan dia dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin sementara menunggu perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 3 Sept.

Samirah, 44, yang bertudung warna gelap, dilihat memasuki sebuah kenderaan Volkswagen warna hitam di kawasan lokap polis pada 12.40 tengah hari.

Dua wanita dipercayai anggota keluarganya turut dilihat hadir di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi pada kira-kira 11.40 pagi ini dipercayai untuk menyelesaikan urusan pembayaran wang ikat jamin dan urusan dokumen.

Samirah yang juga bekas eksekutif kanan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), dua remaja berusia 14 dan 17 tahun, dan warganegara Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang kini masih bebas, dituduh membunuh Nazrin, 47.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun, 2018 dan 4 pagi 14 Jun, 2018.

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Pada 27 Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi di Shah Alam membenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin masing-masing terhadap kedua-dua remaja lelaki itu.

Semalam, Mahkamah Persekutuan yang bersidang dengan lima hakim dipengerusikan Hakim Tan Sri Azahar Mohamed membenarkan permohonan Samirah untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan kes bunuhnya.

Mahkamah turut memerintahkan dia dikenakan beberapa syarat termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis setiap dua minggu.

Dia juga mesti berkurung dalam rumah dari pukul 6 petang hingga 8 pagi, dan dilarang daripada berada di tempat-tempat awam serta menghadiri majlis-majlis awam kecuali majlis ahli keluarga dan berbentuk keagamaan.

Samirah juga tidak boleh meninggalkan Kuala Lumpur atau Petaling Jaya tanpa kebenaran mahkamah.

- Bernama