Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KM: Melaka tubuh JK khas tangani pencemaran sungai

Kerajaan negeri Melaka akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah pencemaran di Sungai Melaka daripada terus berulang pada masa akan datang.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata penubuhan jawatankuasa khas itu akan diketuai Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka dan perkara utama yang bakal dibincangkan adalah mengenai penemuan ratusan bangkai ikan dan air sungai menjadi hitam.

“Setakat ini apa yang kita sudah kenal pasti kematian ikan yang banyak itu adalah berpunca daripada pertembungan air tawar dan air laut. Fenomena ini berulang dan pernah berlaku pada tahun 2015.

“Sungai Melaka adalah kawasan pelancongan dan melalui penubuhan jawatankuasa ini, kita akan melihat apakah kawalan dalam tempoh jangka masa panjang untuk memastikan air sungai itu benar-benar berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Inspirasi Ramadan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) peringkat negeri Melaka di Masjid Al-Muttaqin, Kampung Tedong, Merlimau, di Jasin malam ini.

Beliau berkata selain itu, jawatankuasa khas berkenaan akan membincangkan langkah utama untuk mengawal kemasukan air melalui sistem baraj yang dipertingkatkan selain memastikan pengurusan sungai yang lebih baik pada masa depan.

Sementara itu, Adly berkata antara faktor yang menyebabkan air Sungai Melaka boleh bertukar menjadi hitam ialah sekatan air yang terlalu lama di baraj empangan Batu Hampar selain kesan persekitaran semula jadi.

“Namun, kita percaya keadaan itu akan kembali seperti sedia kala sekiranya berlaku hujan. Malah, perkhidmatan bot Melaka River Cruise juga tidak dihentikan akibat kejadian ini.

“Kita percaya masalah sistem baraj di Sungai Melaka akan dapat diselesaikan sekiranya permohonan sebanyak RM15 juta diluluskan oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli,” katanya.

Isnin lepas, media melaporkan kerajaan negeri mahu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka menyiasat kejadian Sungai Melaka tercemar sepanjang kira-kira tiga kilometer hingga air bertukar hitam dan hidupan sungai mati.

Keadaan tersebut turut mendapat rungutan daripada pelancong yang mendakwa Sungai Melaka berbau busuk, malah menemui bangkai ikan terapung di sungai berhampiran Taman Rempah.

- Bernama