Shafee: AG sengaja tak masuk maklumat kes hina mahkamah
Peguam Muhammad Shafee Abdullah mendakwa Peguam Negara Tommy Thomas sengaja menyembunyikan maklumat penting dalam prosiding kes menghina mahkamah yang dihadapinya.
Prosiding tersebut berkait komen Shafee ketika wawancara bersama media pada Februari lalu yang dirakam video KiniTV berjudul "Shafee: This is completely bonkers” (Shafee: Ini memang gila).
Hari ini, peguam David Matthews yang mewakili Shafee berkata plaintif ketika membuat serahan di mahkamah tidak memasukkan soalan yang ditanyakan kepada anak guamnya sebelum beliau memberikan ulasannya.
Kata Matthews, hal tersebut telah meredamkan konteks lontaran kata-kata itu dan seterusnya membukannya untuk "taksiran terpesong" oleh plaintif.
"Dengan tidak meletakkan soalan (yang ditanyakan wartawan kepada Shafee), ia membenarkan mereka (plaintif) untuk memilih taksiran kenyataan ityu," kata Matthews kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Firuz Jaffril.
Shafee tak cukup tidur
Pada 7 Februari lalu, Shafee menjawab soalan media selepas anak guamnya, bekas perdana menteri Najib Razak dilepaskan tetapi tidak dibebaskan daripada pendakwaan tiga kes pengubahan wang haram 1MDB kerana pertindihan pertuduhan.
Ketika ditanya mengenai peluang Shafee dalam perbicaraan 1MDB, Shafee berkata beliau yakin tetapi hanya jika hakim "jujur" dan "tidak dipengaruhi", saksi tidak "dilatih" dan keterangan tidak "diada-adakan."
Thomas kemudiannya dibenarkan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Shafee yang kini cuba diketepikan peguam Najib itu.
Hari ini, Matthews berhujah komen Shafee bukan disasarkan terhadap kehakiman tetapi pihak pendakwaan dalam kes 1MDB.
Ketika hakim Firuz bertanya apakah yang dimaksudkan Shafee dalam komennya mengenai "hakim," Matthews berhujah kenyataan itu dibuat dalam keadaan "tanpa persediaan" dan kerana "kecewa" dengan tingkah laku pihak pendakwaan perbicaraan 1MDB yang diketuai Thomas.
"Kami tidak boleh mengasingkan kata-kata itu dan menaksirkannya secara terpisah (di luar konteks)," katanya.
Menjelaskan lanjut, Mathhews berkata ketika ditanya, Shafee dalam keadaan kecewa dan tidak mendapat tidur yang cukup.
"Beliau sedang kecewa serta tidak cukup tidur dan perlu menghadapi semua ini. Kemudian, pemberita pula bertanya kepadanya 'apa peluang kami'.
"Jika saya dibenarkan membuat spekulasi, permohonan (kes menghina mahkamah) ini dibuat kerana mereka (pendakwaan) tidak senang dengan komen yang dibuat terhadap pihaknya.
Thomas diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan hari ini.
Pendengaran akan bersambung pada 27 Mei ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai