Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri: Jangan buat spekulasi isu pembelian helikopter

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan isu perolehan dan kewangan kementerian itu yang kini dalam siasatan.

Beliau berkata, ia termasuklah isu pertukaran tanah milik kementerian itu serta pembelian helikopter bernilai lebih RM300 juta yang dibeli ketika pentadbiran lalu.

Sebarang spekulasi boleh mengganggu siasatan yang dijalankan Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara yang dipengerusikan Ambrin Buang, katanya lagi.

“Sepertimana hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara berhubung isu 'land swap' sebelum ini, Kementerian Pertahanan akan memanjangkannya kepada Kabinet sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Oleh itu, pihak-pihak yang tidak berkaitan tidak sepatutnya membuat spekulasi terhadap sebarang isu yang sedang disiasat oleh Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara seperti pembelian helikopter, kerana ia kan menggangu proses siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pegawai Tugas-tugas Khas Kepada Menteri Pertahanan, Mohd Nasaie Ismail sebelum ini berkata keseluruhan 16 projek pertukaran tanah melibatkan 1,182.89 hektar tanah milik persekutuan yang bernilai RM4.7 bilion.

Portal Free Malaysia Today pula hari ini melaporkan pembelian helikopter tentera bernilai RM300 juta yang dibuat ketika pentadbiran BN masih belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga kini.

Laporan yang memetik sumber itu menyatakan sebanyak enam buah helikopter tempur ringan MD530G yang dikeluarkan gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat, McDonnel Douglas dipesan ketika Hishamuddin Hussein menjadi menteri pertahanan.

Bagaimanapun penyiasatan ke atas urus niaga itu mendedahkan maklumat mengejutkan mengenai pembelian tersebut, selain ia masih belum diterima ATM.

Menurut laporan itu lagi, helikopter itu menarik minat pegawai kementerian ketika Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) 2015 tetapi sumber berkata helikopter yang membuat demonstrasi ketika itu bukan MDG530G, tetapi variannya iaitu N369FF.