Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas sami disyaki rogol warga emas, anak saudara perkosa remaja

GLOBAL | Seorang bekas sami dan anak saudaranya ditahan pihak berkuasa kerana disyaki menjadi perogol, lapor media, dengan suspek pertama menyerang warga emas dan suspek kedua memangsakan remaja perempuan.

Memetik kenyataan polis, Bangkok Post menyatakan kedua-dua mereka dipercayai terbabit dalam dua kejadian berasingan.

Bekas sami terbabit dikenali sebagai Thonglor Thaweebut dan dia ditahan pasukan pencegahan jenayah polis Thai di ladang ubi kayu di Sri Mongkhol, daerah Sai Yok, Kanchanaburi.

Thonglor, 40, didakwa menculik seorang wanita berusia 78 tahun dan menggunakan sebilah pisau untuk mengugutnya agar tidak melawan ketika mangsa memungut buat-buahan berhampiran sebuah kuil pada petang 13 Mac lalu.

Pegawai polis Krabi, Nethi Wongkularp, berkata bekas sami itu kemudian mengheret mangsa ke rumahnya di kawasan kuil terbabit dan merogol wanita terbabit.

Katanya siasatan mendapati suspek baru berpindah ke kawasan itu 10 hari sebelum serangan berlaku dan ketika kejadian dia dipercayai mabuk.

"Polis membuat tangkapan selepas menerima aduan daripada mangsa," katanya.

Anak pekerja ladang tebu

Menurut Nethi, selepas kejadian itu Thonglor melepaskan tugasnya sebagai sami dan bekerja sebagai tukang kutip ubi kayu di ladang terbabit.

Sementara itu anak saudara Thonglor disyaki merogol seorang remaja perempuan di sebuah rumah sewa di Dan Chang, di wilayah Suphan Buri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Suphan Buri, Jirabhop Bhuridej, berkata Anon Thaweebut, 22, mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan polis wilayah Kanchanaburi.

Katanya, mangsa baru berusia 14 tahun.

Menurut Jirabhop, Anon melarikan remaja terbabit selepas menceoboh rumah mangsa pada waktu malam.

Katanya pada malam kejadian mangsa berada di rumah bersama dua adiknya manakala ibu bapa mereka tiada kerana bekerja di ladang tebu di kampung lain.

Kedua-dua suspek sudah diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.