Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pembalakan hutan simpan di Johor: Adun lapor SPRM

Kerajaan negeri Johor dipercayai mengalami kerugian ratusan juta ringgit akibat penyelewengan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Lenggor dekat Mersing, sejak sekian lama.

Pengerusi Kelab Penyokong PH Johor Khairuddin A Rahim berkata berdasarkan lawatan beliau ke kawasan berkenaan akhir bulan lepas, pembalakan dengan cara tidak sepatutnya didapati masih berlaku sehingga kini.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Senggarang sehubungan itu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor hari ini, supaya siasatan berhubung perkara dapat dilakukan bagi melindungi khazanah negeri.

“Isu penyelewengan pembalakan ini telah saya usulkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 12 Ogos lepas, namun sehingga lawatan saya ke hutan itu akhir bulan lepas, saya dapati amalan pembalakan secara tidak sepatutnya masih berlaku,” katanya yang ditemui pemberita selepas selesai membuat laporan berkenaan di pejabat SPRM Johor di Tampoi, di Johor Bahru.

Khairuddin yang tiba di SPRM Johor pada 10.30 pagi dan selesai membuat laporan pada kira-kira 1.30 tengahari berkata, kawasan Hutan Simpan Lenggor (compartment 148B) didapati dalam keadaan gondol akibat pelanggaran syarat penebangan pokok seperti pokok kayu tidak bertanda yang masih kecil disyaki ditebang secara tidak sah dan dikeluarkan dengan tidak membayar cukai.

“Penanaman semula juga didapati tidak dilakukan dengan sempurna, manakala pengeluaran kayu-kayu juga disyaki dilakukan secara gelap tanpa membayar cukai kepada kerajaan (cukai terbang),” katanya.

Katanya selain merugikan kerajaan negeri, pelanggaran syarat penebangan pokok turut merugikan rakyat serta alam sekitar sebagaimana semua maklum bahawa hutan simpan merupakan satu kawasan tadahan air bagi mengimbangi struktur alam.

“Ini kali pertama saya membuat laporan kepada SPRM. Saya akan membuat satu lagi laporan mengenai keadaan terkini perkara ini minggu depan. Sekiranya tiada apa-apa tindakan lanjut, saya akan terus melakukan laporan berantai dan mengemukakan usul sekali lagi di DUN Johor Julai ini, sehingga perkara ini diambil tindakan oleh pihak bertanggungjawab,” katanya.

- Bernama