Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Rais Yatim mahu jumpa 4 ahli akademik isu Statut Rom

Bekas presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Rais Yatim menyatakan hasrat untuk berjumpa empat ahli akademik yang membentangkan rumusan eksekutif kepada Majlis Raja-Raja berhubung Mahkamah Jenayah Antarabangsa Statut Rom.

Rais, yang juga merupakan pengerusi Bersatu Negeri Sembilan berkata dia kenal keempat-empat ahli akademik berkenaan dan akan berjumpa mereka untuk mendapatkan penjelasan berhubung rumusan eksekutif yang dibentangkan.

"Saya kenal keempat-empatnya, jadi dalam situasi untuk memberi keadilan kepada masyarakat Malaysia, berhubung Statut Rom, penting untuk mendapat penjelasan.

"Kita tidak boleh hanya dapat berita  bahawa raja-raja sudah tidak bersetuju, menaruh ketakutan dan sebagainya.

"Walaupun dalam media sosial ada dimuatkan sedikit-sedikit huraian tapi kita meminta keempat-empat cerdik pandai ini memunculkan hujah yang sebenarnya," kata Rais kepada pemberita.

Rais merupakan salah seorang panelis dalam forum yang dianjurkan Majlis Peguam yang membincangkan kontroversi dan kesan keputusan kerajaan menarik diri dari menyertai Statut Rom yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

Jelas Rais, empat ahli akademik itu juga perlu mendengar pandangan Majlis Peguam.

"Kita perlu melihat perkara ini secara positif untuk menanganinya. Tapi bagaimana untuk menanganinya jika kita tidak tahu apa hujah mereka (ahli akademik). Ini masalahnya.

"Kita perlu tahu apa yang dia beritahu Sultan, jadi kita boleh berunding dengan baik berhubung isu ini," katanya lagi.

Dalam ucapan awalnya, Rais menyalahkan empat ahli akademik berkenaan atas "kerosakan" yang diakibatkan oleh mereka.

Rais juga mengulangi bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak menentang Statut Rom namun terpaksa mengambil keputusan menarik diri kerana situasi yang timbul.

Panel lain forum itu termasuklah Peguam Negara Tommy Thomas, Presiden Hak Asasi Manusia Gurdial Singh Nijar, dan ahli Majlis Peguam Surendra Ananth.