Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Apa pandangan calon PRK isu pendatang di Sabah?

PRK SANDAKAN | Sejak tahun 1970-an, Sabah berdepan isu kemasukan warga dari dari negara jiran yang sering kali tanpa dokumen yang sepatutnya.

Mengikut laman web Jabatan Perangkaan, Sabah kini mempunyai penduduk 3,899 juta, dengan 29.71 peratus daripada jumlah itu dikategorikan sebagai "bukan warganegara Malaysia".

Semakan di laman web yang sama mencadangkan bahawa penduduk bukan warganegara di Sabah naik 3.45 peratus setahun antara 2010 dan 2018, lebih cepat daripada pertumbuhan komuniti bumiputera Sabah (1.54 peratus).

Tempoh yang sama menyaksikan jumlah penduduk Malaysia berkembang pada kadar tahunan 1.4 peratus manakala penduduk Sarawak meningkat 1.29 peratus setahun.

 Sandakan, yang akan menyaksikan pilihan raya kecil (PRK) pada 11 Mei, mempunyai populasi bukan warganegara yang besar. Dalam kes Kampung Berhala, ramai bukan warganegara yang tinggal di sana tidak mempunyai akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan awam.

Memandangkan isu imigresen sering menjadi tumpuan dalam politik di Sabah, Malaysiakini mengajukan soalan berkaitan isu itu kepada dua calon utama dalam PRK Sandakan - Linda Tsen (PBS) dan Vivian Wong (DAP).

Maklum balas mereka adalah seperti berikut:

Adakah anda fikir kerajaan sekarang sudah cukup untuk menangani masalah imigresen?

Linda Tsen (PBS): Saya fikir tidak mencukupi. Kerana ini merupakan isu yang sangat besar dan serius di Sabah. Ia telah menghantui rakyat Sabah untuk masa yang lama.

Vivian Wong (DAP): Pasti kami memberi perhatian lebih banyak berbanding kerajaan sebelumnya. Kami melihat isu ini secara serius. Kami membawa isu ini ke Parlimen dan anda (media) telah mengikuti perkembangannya.

Ayah saya juga bercakap mengenai isu ini dan beberapa kali mengenai isu kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sandakan dan Sabah (secara umum). Kami masih belum mencari penyelesaian. Kami mengambil satu demi satu langkah.

Bagaimana pula dengan kerajaan terdahulu?

Tsen: Mereka telah melakukan sesuatu. Mereka menubuhkan sebuah RCI (suruhanjaya siasatan diraja) dan semua itu. Apa kata tanya pengarah operasi (pilihan raya) kami? Dia akan tahu lebih baik.

Wong: Saya tidak mahu mengulas mengenai kerajaan terdahulu kerana saya mahu memberi tumpuan hanya kepada Sandakan dan Sabah.

Tetapi saya fikir kerajaan baru akan melakukan pekerjaan yang lebih baik berbanding kerajaan sebelumnya.

Apakah hasil akhir yang ingin dilihat oleh rakyat Sabah?

Tsen: Sudah tentu, kami ingin melihat Sabah tanpa sebarang pendatang tanpa izin. Seperti yang saya katakan, masalah ini telah menghantui rakyat Sabah untuk jangka masa panjang.

Kanak-kanak tanpa nama juga merupakan isu yang sangat besar. Jika saya menang, sudah tentu, saya perlu mengemukakan isu ini semula ke Parlimen.

Wong: Kami mahu melihat keadilan dan semua orang di Sabah dan Sandakan mahu melihat keadilan.

Kita tidak boleh mengabaikan hak rakyat Sabah dan Sandakan tetapi kita juga perlu memperlihatkan kemanusiaan terhadap anak-anak tanpa kerakyatan.

Itulah maksud kami tentang keadilan.

Nota Editor: Pada tahun 2014, RCI mendapati ada sindiket menjual kad pengenalan kepada pendatang dan dengan itu menyumbang kepada pertambahan penduduk negeri itu. Jawatankuasa teknikal yang diketuai oleh presiden PBS, Joseph Pairin Kitingan telah ditugaskan untuk melaksanakan cadangan oleh RCI.

GERALDINE TONG dan FAYE LIOW menyumbang kepada artikel ini.