Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

MA63: Keputusan Dun S’wak pengaruhi tindakan lanjut kjaan - Liew

Kesediaan kerajaan Sarawak membentang dan membahaskan cadangan pindaan perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan memberi petanda positif kepada usaha mengembalikan status dan hak-hak Sarawak dan Sabah mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata usul yang akan dibahaskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini itu amat signifikan di mana keputusan yang dicapai bakal menentukan hala tuju kerajaan dalam memperjuangkan pindaan tersebut.

“Ini satu perkembangan baharu di mana selepas Sabah, DUN Sarawak pula mengambil langkah sama membentang dan membahaskan usul tersebut dan kita optimis sesuatu yang positif akan terhasil,” katanya.

Liew berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 152 penerima melibatkan enam kluster di bawah pengurusan kehakiman dan perundangan di Putrajaya hari ini.

Usul itu dijadual dibahaskan hari ini selepas dibentangkan oleh Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di dewan undangan negeri yang bersidang semalam.

Ditanya apakah DUN Sarawak boleh menyokong pindaan itu selepas wakil rakyat Sarawak tidak menyokongnya ketika dibentangkan di Parlimen pada 9 April lepas, Liew berkata situasi di dua institusi itu adalah berbeza.

"Di Parlimen mereka bukan menolak cuma tidak mengundi, ia sesuatu yang berbeza," katanya.

Liew berkata keputusan dari DUN Sarawak akan mempengaruhi langkah yang akan diambil beliau selepas ini termasuk membentangkan semula dalam mesyuarat jemaah menteri.

Pada 9 April lepas Dewan Rakyat gagal mendapatkan sokongan dua pertiga atau 148 undi yang diperlukan untuk meluluskan Pindaan itu, yang diusulkan khusus bagi mengembalikan Sabah dan Sarawak ke status asalnya seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Hanya 138 anggota Parlimen menyokong Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 sementara 59 orang termasuk anggota Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak, tidak mengundi.

- Bernama