Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis akan panggil individu didakwa kritik Raja-raja Melayu

Polis akan memanggil beberapa individu yang didakwa mengkritik Raja-Raja Melayu semasa forum awam mengenai Statut Rom yang berlangsung di Universiti Malaya Sabtu lepas sekiranya perlu.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya ada menerima laporan polis berhubung isu berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

"Polis ada menerima laporan daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berpuas hati, jadi kita siasatlah.

"Kita tengok pada keperluan dan kesalahan...sekiranya perlu kita akan panggil untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini.

Katanya siasatan setakat ini dilakukan di bawah Akta Hasutan dan pihaknya akan melihat sekiranya terdapat undang-undang berkaitan yang boleh digunakan bagi membantu siasatan.

Semalam, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dilaporkan membuat laporan polis terhadap seorang pemimpin politik, antara individu yang didakwa mengkritik Raja-Raja Melayu ketika forum itu berlangsung.

Pada 5 April, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Malaysia telah menarik diri daripada menandatangani Statut Rom berikutan kekeliruan politik dalam kalangan rakyat.

- Bernama