Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Calon PBS: Bukan cara saya buat serangan peribadi

PRK SANDAKAN | Calon pilihan raya kecil (PRK) Sandakan Linda Tsen berkata dia dan pihak dari partinya tidak terlibat dalam kritikan ke atas calon PH Vivian Wong yang membersihkan kawasan perkuburan Islam semalam.

"Saya boleh beritahu anda bahawa saya tak ada kaitan dengan perkara itu. Kita tidak buat semua perkara itu, bukan cara saya atau parti saya.

"Saya tidak suka serangan peribadi. Jujurnya, saya harapkan yang terbaik untuk Vivian," kata Tsen kepada pemberita ketika program jelajah mesra di Central Market Sandakan pagi tadi.

Pagi semalam, DAP mengadakan program gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan Islam di Kampung Sim Sim di Sandakan bersama Vivian.

Tangkap layar kiriman Facebook yang disebarkan di WhatsApp pada hari sama dengan pengguna Facebook itu menuduh Vivian cuba "memperbodohkan" umat Islam di Sandakan.

"Sejak bila bah amoi-amoi (wanita) di Sandakan ini turut membersihkan dan berdukacita di kuburan orang Islam seperti dalam gambar ini kalau bukan mahu minta undi," kata pengguna Facebook itu.

Setiausaha publisiti DAP Sabah, Phoong Jin Zhe kemudian menjelaskan bahawa Vivian hanya meneruskan usaha dilakukan mendiang bapanya, Stephen Wong yang juga anggota parlimen Sandakan sebelum ini.

Phoong berkata mereka sudah melakukan aktiviti seperti itu semenjak 2015.

Phoong juga berkata, DAP pada mulanya tidak mahu melayani perkara berkenaan tetapi kemudian berpendapat "tuduhan pembangkang sudah keterlaluan:.

Susulan itu, Presiden PBS Yee Mo Chai menafikan penglibatan partinya berhubung kritikan terhadap Vivian.

"Adakah dia cuba katakan PBS yang mengatur untuk mereka melawat kubur itu dan kemudian kami tangkap gambar dan muat naik?

"Anda fikir kami boleh buat itu? Tolong jangan buat lawak tentang ini," kata Yee.

Sementara itu, Tsen berkata, dari pengalamannya sebagai bekas ahli parlimen Batu Sapi, apabila timbul isu berkaitan masjid, dia akan berbincang dengan individu berkaitan di luar masjid.

"Apabila mereka ada isu mereka akan datang jumpa saya dan saya akan bincang di luar.

"Jika mereka tak jemput saya masuk dalam masjid, saya tidak akan masuk.

"Ini sikap saya kerana mereka mempunyai peraturan sendiri. Tak boleh suka-suka masuk," katanya.

PRK Sandakan diadakan selepas penyandang parlimen itu, Stephen meninggal dunia pada 28 Mac lalu.

Vivian, yang merupakan anak perempuan bongsu Stephen bertanding dalam pertembungan lima penjuru menentang PBS, dan tiga calon bebas.

Hari pengundian ditetapkan pada 11 Mei.

Terdapat 39,777 pengundi di Sandakan, yang terdiri daripada 51 peratus pengundi Cina, 26 peratus bumiputera Sabah, 16 peratus Melayu dan tujuh peratus etnik lain.

[Baca berita asal]