Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pelajar tahfiz hanyut, ditemukan lemas

Seorang lagi pelajar tahfiz yang hilang ketika mandi di Sungai Kampung Shaari, Simpang Renggam dekat Kluang, dua hari lalu, ditemukan lemas hari ini.

Ketua Zon 3 (Kluang) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Penguasa Kanan Bomba II Wan Syariman Wan Saleh berkata mayat Mohd Danish Mirzan Muhammad Said, 16, ditemukan pada 10.29 pagi, kira-kira 20.5 kilometer dari tempat dia dilaporkan mandi dan hanyut.

"Mayat mangsa (Mohd Danish Mirzan) dijumpai oleh orang kampung di jambatan Parit Salleh, Simpang Renggam. Mayatnya kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

Wan Syariman berkata mayat Mohd Danish Mirzan turut dibawa arus melepasi pintu air Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ), berjarak 5.5 km daripada lokasi dia dilaporkan mandi dan hanyut.

Beliau berkata berikutan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat oleh bomba dihentikan pada 12.16 tengah hari tadi.

Dua hari lepas (Khamis), Mohd Danish Mirzan dan seorang lagi rakannya, Mohd Ammar Mazeni, 13, dikatakan mandi bersama enam lagi rakan mereka di Sungai Kampung Shaari, sebelum kedua-duanya hilang dihanyutkan arus deras.

Kelapan-lapan mereka merupakan pelajar Sekolah Tahfiz Assidiq Gufran, Simpang Renggam.

Kesemua enam rakan lain, bagaimanapun selamat manakala mayat Mohd Ammar, ditemukan pada 5.20 pagi Jumaat, kira-kira dua kilometer dari tempat dia dilaporkan mandi dan hanyut.

Usaha mencari dan menyelamat Mohd Danish Mirzan giat dilakukan polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia, sukarelawan serta penduduk setempat.

- Bernama