Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Presiden JMM didakwa ugut polis, aibkan individu

Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah mengaku tidak salah di dua Mahkamah Majistret, di Klang, atas tuduhan melakukan ugutan jenayah dan mengaibkan seseorang, hujung tahun lalu.

Pertuduhan pertama, Azwanddin, 46 didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan Ketua Polis Bandar Baru Klang, Asisten Superintendan Harun Abu Bakar untuk menyerang Balai Polis Klang.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan itu dibuat di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail.

Dalam pertuduhan kedua, pemimpin Umno itu turut didakwa sengaja mengaib dan membangkitkan kemarahan D Arumugam, 49, dengan mengetahui mungkin perkara itu akan memecahkan keamanan awam di tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan itu dibuat di hadapan Majistret Muhammad Azzam Zainal Abidin.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan Azwanddin dibebaskan dengan jaminan RM13,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 24 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh juga diperintah melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari sementara Azwanddin yang juga merupakan Penasihat Gagasan Tiga Malaysia (G3) diwakili peguam Izzat Muhtar.

Media sebelum ini melaporkan, pada perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy' anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni, 25 Dis lalu, Azwanddin dalam ucapannya didakwa mengeluarkan kenyataan provokasi antara lain mengugut untuk menyerang Balai Polis Klang jika pihak yang terlibat dalam kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditangkap.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara.