Hadi gerun ‘anak komunis, naga besar’ dalam pilihan raya Indonesia
Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyatakan rasa “gerun” terhadap perjalanan pilihan raya Indonesia (Pemilu) pada 17 April lepas.
“Kini disaksikan betapa munculnya anak-anak tokoh Komunis Indonesia di belakang Pemilu yang baharu sahaja telah berlangsung, penglibatan naga-naga besar di belakang money politics (politik wang) dan media sosial yang dibelanjakan itu sangat menggerunkan,” katanya.
Hadi tidak mengulas lanjut berkaitan kumpulan itu.
Bagaimanapun, dalam tulisan panjang di Harakahdaily hari ini, beliau menyentuh politik Indonesia yang dikaitkan dengan kegiatan komunisme, termasuk pengaruh Perang Dingin, pemberontakan Komunis 1948 dan rampasan kuasa 30 September 1965.
Hadi berkata golongan komunis di negara jiran melangkah menggunakan jenama baru tanpa menyebut Parti Komunis Indonesia (PKI), komunis “atau menjadi syaitan yang menyusup kepada parti-parti politik yang jendelanya sentiasa terbuka pada waktu malam”.
“Kita berdoa kepada Allah supaya Indonesia diselamatkan, seperti kita doakan untuk Malaysia yang tercinta ini,” kata bekas pemimpin Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu.
“Insya-Allah warga Indonesia yang lebih mengenali seluruh rakyat dan muka buminya lebih memahami cara menghadapi cabaran pasca Pemilu dengan bijaksana dan selamat sejahtera.”
Badan penasihat presiden Indonesia (Wantimpres) dua bulan lepas meminta masyarakat waspada terhadap dakwaan kebangkitan anak cucu kader PKI.
Beliau bagaimanapun menegaskan komunis tidak boleh disamakan degan pengikut presiden pertama Indonesia yang dirujuk sebagai Sukarnois di negara itu.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Presiden Joko Widodo atau Jokowi sekali lagi mempertahankan jawatan dengan mendapat sokongan tipis lebih 50 peratus di hadapan pencabarnya Prabowo Subianto.
Sehari sebelum Pemilu, anak Hadi, Muhammad Khalil yang juga ketua Pemuda PAS mengeluarkan kenyataan berharap kemenangan memihak kepada Prabowo.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai