Inkues Adib: Mahkamah tolak permohonan panggil semula dua saksi
INKUES ADIB | Mahkamah Koroner menolak permohonan untuk memanggil semula saksi pakar ke-24 dan ke-27 dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini.
Bagaimanapun, pegawai penyelaras inkues Hamdan Hamzah telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Koroner Rofiah Mohamad.
Saksi ke-24 merupakan pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi.
Manakala, saksi ke-27 merupakan Ketua Jabatan Perubatan Forensik HKL Dr Mohd Shah Mahmood.
Mahkamah Koroner hari ini menetapkan tarikh 10 Mei untuk semakan semula keputusan di Mahakamah Tinggi Shah Alam.
Menurut Rofiah, dia berpuas hati dengan keterangan daripada kedua-dua saksi tersebut sebelum ini dan merasakan tiada keperluan memanggil mereka semula kerana tiada sebarang perkembangan baru.
"Eksperimen baru ini telah dijalankan pada 12 April, pun begitu tiada perkembangan baru. Oleh itu, eksperimen ini mengukuhkan penemuan yang mana sedia ada mereka bentangkan di hadapan koroner.
"Kitaran ini akan berterusan dan inkues tidak akan sampai ke penamat sedangkan koroner ada tanggungjawab memastikan inkues diselesaikan dalam tempoh munasabah," katanya di Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini.
Eksperimen atau ujian 12 April yang dimaksudkan adalah yang dijalankan Dr Hafizam terhadap beberapa dakwaan bekas pakar perunding kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (dahulunya Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) Prof Dr Shahrom Abd Wahid.
Eksperimen berkenaan sebelum ini dilakukan dengan menggunakan model patung dan pintu van EMRS untuk melihat corak akibat hentaman bagi memadankan corak kecederaan yang hampir sama dialami Adib.
Tamba Rofiah, inkues bukanlah perbicaraan, tapi adalah prosiding siasatan bagi mencari punca kematian.
Pada 17 dan 19 April, saksi ke-29, Dr Shahrom Abd Wahid mengkritik laporan bedah siasat yang dilakukan oleh Dr Hafizam, antaranya tentang skala warna lebam dan hipotesis Adib dilanggar pintu depan EMRS tidak diuji.
Bagaimanapun, permohonan pegawai pengendali itu ditentang Syazlin Mansor yang merupakan peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) secara bersama dengan peguam keluarga Adib, Yahaya Othman.
Katanya, tiada keperluan bagi mahkamah untuk memanggil semula saksi pakar kerana semua telah diberikan peluang untuk mengemukakan hujah masing-masing.
Adib meninggal dunia pada 17 Disember, 9.41 malam di Institut Jantung Negara setelah kecederaan yang dialaminya pada malam rusuhan.
Inkues diadakan berikutan terdapat dua versi yang timbul berhubung punca kematian Adib.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai