LANGSUNG: Najib balik tanpa jawab soalan wartawan
LANGSUNG | Perbicaraan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak masuk hari kelima di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Seperti biasa Malaysiakini membawakan liputan secara langsung perbicaraan kes berprofil tinggi ini.
LANGSUNG
5pm: Najib Razak meninggalkan bangunan mahkamah Kuala Lumpur selepas perbicaraan ditangguhkan pada hari ini dan akan bersambung Isnin nanti.
Tidak seperti semalam, hari ini Najib berjalan terus menuju ke keretanya dan enggan menjawab sebarang soalan daripada pemberita.
Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
4.55pm: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menangguhkan perbicaraan dan menetapkan jam 9 pagi Isnin depan untuk menyambung perbicaraan.
4.40pm: Seorang ahli perniagaan yang terlibat dalam bisnes paip dan tangki air berkata, dia menerima cek bernilai RM56,500 pada 24 Feb 2015 atas kerja-kerja dilakukan di rumah Najib Razak pada awal tahun itu.
Pemilik syarikat Moz Malaysia Sdn Bhd, Mohammad Zakariyya Zearat Khan, 35, berkata tangki air yang dibinanya itu adalah bagi membaik pulih kemudahan di rumah bekas perdana menteri terbabit di Jalan Langgak Duta, KL.
Katanya tangki air itu boleh menyimpan sehingga 6,000 liter air dan membantu mengepam air ke rumah Najib yang terletak di kawasan berbukit.
4.15pm: Zulkarnain yang memiliki syarikat pembinaan memberitahu mahkamah dia menerima wang berjumlah RM100,000 pada Februari 2015 untuk kerja-kerja yang disiapkan di rumah Najib di Jalan Langgak Duta.
Ketika disoal DPP Saifuddin, Zulqarnain berkata kerja pengubahsuaian rumah itu dibuat pada akhir 2014.
4pm: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan peguam bela Najib Razak untuk menggugurkan kelayakan saksi keenam pendakwaan daripada memberi keterangan.
Kata hakim bukti yang dibawa saksi terbabit - daripada ABS Trend Master Sdn Bhd - boleh diterima dan relevan walaupun Muhammad Shafee berpendapat sebaliknya.
Sebelum itu Peguam Negara Tommy Thomas berhujah bukti yang diberikan Zulqarnain adalah perlu untuk menunjukkan berlaku pengubahan wang haram.
2.30pm: Pendakwaan membuat permohonan lisan untuk menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya diadakan esok.
Peguam Negara Tommy Thomas memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pihaknya perlu menghadiri mesyuarat rasmi mengenai pemisahan kuasa di antara Pejabat Peguam Negara dan pendakwa raya.
Kata Thomas mesyuarat itu penting kerana menyentuh pelbagai aspek seperti pemisahan pelbagai cabang dalam Jabatan Peguam Negara.
"Walaupun kehadiran kami bukan satu kemestian, namun ia bagus untuk pasukan (pendakwaan) saya," katanya.
Sementara itu ketua peguam bela Najib Muhammad Shafee Abdullah juga membuat permohonan sama namun untuk sebab berbeza.
Kata Muhammad Shafee pasukan pembelaan mempunyai mesyuarat penting yang perlu dihadiri pada pagi dan petang esok.
Hakim kemudian membenarkan permohonan kedua-dua pihak dan memutuskan perbicaraan yang sepatutnya diadakan esok ditangguhkan.
2.29pm: Najib Razak kembali ke mahkamah untuk menyambung semula perbicaraan.
Beliau naik ke tingkat lima diiringi beberapa penyokong yang setia menunggunya.
1.02 petang: Najib keluar meninggalkan bangunan mahkamah Kuala Lumpur menaiki keretan Protonnya dengan nombor TN50 sambil tersenyum kepada pemberita dan penyokong.
Difahamkan Najib akan kembali semula ke mahkamah sekitar jam 2 petang ini.
12.10 tengah hari: Semasa soal balas terhadap Badrul, peguam Najib, Harvinderjit, bertanya sama ada saksi boleh mengemukakan dokumen bagi mengesahkan gambar cek akaun Ambank tertuduh kepada mahkamah.
Peguam itu memberitahu mahkamah bahawa pasukan pembelaan perlu meneliti dokumen-dokumen itu kerana dua akaun dirujuk itu berkaitan pendakwaan terhadap Najib.
Katanya ia penting bagi menunjukkan cek berkaitan dijelaskan.
“Saya, antara lain, akan berikan carta aliran wang dalam perbicaraan,” kata Harvinderjit kepada Nazlan sebagai penjelasan pasukan pembelaan.
Hakim mengarahkan saksi membawa dokumen-dokumen itu.
11.30 pagi: Najib selesai menjamah jamuan ringan di kafeteria mahkamah sewaktu perbicaraan ditangguhkan sementara waktu.
Orang ramai yang sedang menjamu selera di situ mula menghampirinya untuk berswafoto dengannya selepas beliau selesai makan.
10.30 pagi: DPP Muhammad Saifuddin mengemukakan kepada Badrul sekeping cek AmIslamic berjumla RM20 juta dengan nama penerima Ihsan Perdana, bertarikh 12 Disember, 2014.
Saksi mengesahkan cek tersebut telah ditunaikan.
Menurut saksi juga, cek lain AmIslamic yang ditunaikan termasuk:
- RM1 juta untuk Upko, bertarikh 13 Feb 2015
- RM103,000 untuk Ihsan Perdana, bertarikh 9 Mac 2015
- RM400,000 untuk pemegang amanah Rumah Penyayang Tun Abdul Razak, bertarikh 12 Feb 2015
- RM300,000 untuk Centre for Strategic Engagement Sdn Bhd, bertarikh 8 Feb 2015
- RM300,000 untuk Umno Johor Baru Umno, bertarikh 26 Feb 2015
- RM2.5 juta untuk Zulqarnain & Co, bertarikh 2 Feb 2015
10.20 pagi: Muhammad Saifuddin mengemukakan kepada Badrul sekeping cek AmIslamic berjumlah RM1 juta dengan nama penerima Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, bertarikh 26 Februari 2015.
Saksi mengesahkan cek berkenaan telah berjaya ditunaikan.
Satu lagi cek yang berjaya ditunaikan dan disahkan saksi adalah dengan nama penerima firma guaman Hafarizam & Aisha Mubarak, berjumlah RM3.5 juta bertarikh 21 Januari, 2015.
10.10 pagi: DPP Muhammad Saifuddin mengemukakan siri cek dari Ambank dan AmIslamic kepada Badrul untuk mengesahkan sekiranya cek terbabit telah ditunaikan.
Antaranya sekeping cek berjumlah RM1 juta dengan nama penerima Solar Shine Sdn Bhd, bertarikh 17 Februari 2015.
9.11 pagi: DPP Suhaimi membenarkan Farhan diberi pelepasan buat sementara waktu supaya dapat mengambil lebih banyak masa untuk mengumpulkan bukti yang dicari oleh pasukan pembelaan.
Sementara itu, saksi kelima Badrul Hisham Mohd mengambil tempat duduknya.
Badrul ialah pengurus kanan di pusat pemeriksaan pemprosesan Ambank.
9.09 pagi: Saksi keempat pendakwaan Farhan masuk ke bilik mahkamah dan mengambil tempat duduk di kandang saksi saat prosiding bermula
Dia dijangka mengemukakan ke mahkamah barang-barang yang disitanya dari pegawai Ambank, Joanna Yu Ging Ping pada 6 Julai 2016.
Semalam, hakim Nazlan membenarkan permohonan pembelaan untuk meminta Farhan membawa barangan yang kononnya mengandungi butiran perbualan antara Yu dan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, tokoh penting dalam skandal 1MDB.
8.48 pagi: Tidak lama kemudian, Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai barisan peguam Najib Razak masuk ke bilik mahkamah dan duduk di bahagian hadapan bersama pasukan pembelaan.
8.45 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di bangunan mahkamah Kuala Lumpur hari ini menaiki kereta Proton Perdana berplat nombor TN 50.
Beliau yang berpakaian sut serba biru gelap itu disambut penyokongnya seperti hari-hari sebelum ini.
Sejurus selepas beliau turun dari keretanya, anggota parlimen Pekan itu berkata kepada penyokongnya: "Kaki sakit, semalam exercise (bersenam)."
Kes Najib akan didengar hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan perbicaraan pagi ini dijangka bermula dengan keterangan oleh dua saksi, antaranya Nimma Safira Khalid.
Beliau ialah pegawai bank Affin Bank Berhad yang menyerahkan dokumen bank berkenaan anak syarikat SRC International, Ihsan Perdana Sdn Bhd kepada penganalisis Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Mohammad Nizam Yahya ketika serbuan bank pusat di bank perdagangan itu dibuat di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, pada 6 Julai 2015.
Bagaimanapun, semua mata bertumpu terhadap kemungkinan saksi keempat pendakwaan, Ahmad Farhan Sharifuddin yang pada ketika itu menjawat pegawai siasatan Bank Negara dengan jabatan yang sama (Jabatan Perisikan dan Penguatkuasaan Kewangan) akan dipanggil kembali ke kandang saksi hari ini.
BACA BERKAITAN:
LANGSUNG: Tiba-tiba ada pelajar meluru ke arah Najib
Saksi senarai dokumen diambil dari Affin Bank
Proses salin dokumen makan masa, perbicaraan ditangguh
LANGSUNG: Hari pertama berakhir, perbicaraan bersambung 15 April
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai